06 August 2008

Esok saya akan didakwa dengan satu jenayah yang saya tidak terlibat - Anwar Ibrahim

Anwar: Pejabat PM, polis terlibat

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap pertuduhan liwat yang akan dihadapkan kepada penasihat PKR itu di mahkamah sesyen esok.

"Saya minta perdana menteri bertanggungjawab bagi kerosakan yang bakal dilakukan kepada negara ini dan integriti dan kehormatan orang Melayu," katanya di sidang media khas tentang kes mahkamahnya.

Polis tengah hari tadi menyerahkan notis bertulis di rumah Anwar memintanya hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta pada pukul 10 pagi esok untuk mendakwanya bawah kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Penasihat PKR itu juga mendakwa beberapa individu di keliling perdana menteri bertegas mahu beliau dituduh di mahkamah, selain pegawai-pegawai polis walaupun pandangan profesional di pejabat Peguam Negara berbeza.

"Esok saya akan didakwa dengan satu jenayah yang saya tidak terlibat.

"Penjenayah-penjenayah sebenarnya, dalam usaha mereka menghina saya dan mengalihkan hasrat orang ramai menyaksikan perubahan, bersembunyi di belakang tabir yang dicipta oleh media arus perdana," katanya.

"Ia akan berlaku dengan sokongan aktif dan pembabitan berunsur jenayah peringkat tertinggi pasukan polis dan ahli politik - termasuk pejabat perdana menteri."

Anwar menuduh Abdullah berbuat demikian kepadanya demi menyelamatkan imejnya yang merosot teruk, termasuk gagal memajukan ekonomi Malaysia.

"Beliau sekarang membakar seluruh hutan demi menyelamatkan sebatang pokoknya sendiri," kata Anwar.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment