30 August 2008

Contoh pengurusan lemah merugikan negara

Malaysia rugi RM600 juta sekatan eksport perikanan EU

KUCHING 30 Ogos — Industri perikanan negara mengalami kerugian hampir RM600 juta apabila Kesatuan Eropah (EU) menyekat pengeksportan produk perikanan Malaysia ke negara-negara tersebut sejak awal tahun ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia (Operasi) Suhaili Lee di sini hari ini.

Suhaili memberitahu pemberita sekatan itu akibat pengusaha industri perikanan negara ini gagal mencapai standard amalan pertanian yang baik sebagai mana yang dikehendaki oleh pihak audit pertanian dari EU. “Berdasarkan kepada audit pasukan pertanian daripada EU ke Malaysia sejak tahun 2005 dan yang terkini April lalu mendapati pengeluar produk perikanan gagal menjaga kualiti dan keselamatan produk mereka seperti menggunakan air batu yang tercemar, kilang air batu yang kurang bersih selain tidak mencapai standard Amalan Pengeluaran Baik (GMP) dan jeti pendaratan yang kotor,” katanya. Sebelum itu beliau telah merasmikan pusat penerangan hidupan marin Sematan dan pelancaran program bumi hijau anjuran Jabatan Laut Sarawak di Sematan kira-kira 100 kilometer dari Kuching.

Suhaili berkata Kabinet baru-baru ini meluluskan penubuhan Biro Keselamatan Perikanan yang membabitkan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kewangan untuk mengatasi masalah sekatan itu.

Katanya peranan dua jawatankuasa itu adalah untuk memastikan pengurusan industri perikanan negara ini mempunyai standard yang diiktiraf EU selain untuk mencari beberapa pasaran baru seperti Timur Tengah.

“Walaupun mempunyai pasaran selain EU seperti China, namun faktor harga yang rendah di China berbanding di EU turut memberi kesan kepada pihak pengeksport dan pengeluar,” katanya.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment