Najib: Biar rakyat buat pilihan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh wajar diberi pilihan dalam menentukan siapa yang mereka mahukan sebagai wakil mereka di Parlimen.
Namun begitu, katanya, Barisan Nasional (BN) akan berusaha sedaya upaya untuk merampas semula kerusi parlimen berkenaan dalam pilihanraya kecil 26 Ogos ini walaupun apa jua sentimen pengundi di situ.
"Setiap kali ada pilihanraya kecil kita akan bertanding...tidak pernah BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil," kata Najib yang juga timbalan presiden Umno, dalam laporan Bernama.
"Pengundi wajar diberi pilihan siapa yang mereka hendak sebagai wakil mereka," katanya ketika ditanya mengenai keyakinan BN untuk menawan semula kerusi Permatang Pauh.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 16 Ogos ini manakala pengundian pada 26 Ogos jika terdapat pertandingan.
Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkannya bagi memberi peluang kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.
Setakat ini BN belum mengumumkan nama calon yang akan bertanding menentang Anwar di kawasan berkenaan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, nama calon hanya akan ditetapkan selepas perbincangan dengan Umno bahagian Permatang Pauh.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment