Anggota Exco Dan Empat Lain Yang Ditahan Reman Dibebaskan
IPOH, 21 Ogos (Bernama) -- Seorang anggota Exco kerajaan negeri Perak dan empat yang lain yang ditahan reman oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki terlibat dalam rasuah berkaitan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dekat sini, hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Mereka dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada pukul 5.20 petang, sehari lebih awal daripada tempoh reman tiga hari yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh semalam.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim selepas mendengar permohonan oleh lapan peguam yang mewakili lima suspek itu untuk penyemakan semula perintah tahanan reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret semalam.
Ridwan dalam keputusannya berkata mahkamah berpendapat tempoh dua hari sudah mencukupi bagi BPR menjalankan siasatan.
Beliau juga berkata tidak ada kesilapan dalam keputusan Majistret Noor Aini Yusof mengeluarkan perintah tahanan reman selama tiga hari itu dan ia dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
"Majistret dibekalkan dengan laporan yang berkaitan dan setiap laporan mempunyai maklumat mengenai pembabitan setiap suspek.
Tetapi, tugas penyiasatan oleh BPR mestilah diseimbang dengan hak kebebasan individu...dengan melihat kepada dasar-dasar berkenaan, tidak wajar tahanan reman selama tiga hari. Apa-apa tindakan mesti dibereskan sebelum tiga hari," katanya.
Ridwan berkata Majistret juga telah dibekalkan dengan diari penyiasatan dan ada menyebut tentang penglibatan suspek-suspek dalam kes itu sebelum dibenarkan direman.
Keputusan berkenaan disambut dengan gembira oleh kira-kira 100 penyokong parti Pakatan Rakyat dari DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenuhi mahkamah. Turut hadir ialah anggota keluarga suspek dan beberapa anggota Exco kerajaan negeri Perak.
Perintah tersebut bagaimanapun tidak melibatkan seorang lagi anggota Exco yang ditahan BPR semalam.
Anggota Exco berkenaan dikenakan tahanan reman dua hari oleh Mahkamah Majistret Ipoh pagi ini. Dalam perkembangan awal, seorang daripada lima suspek terbabit telahpun dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret petang tadi.
Ahli perniagaan berumur 30 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan BPR sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selepas BPR selesai mengambil keterangan daripadanya berhubung kes tersebut.
Barisan peguam yang mewakili suspek dalam permohonan semakan semula perintah tahaman reman itu ialah Mohamad Asri Othman, Ranjit Singh, Su Keong Siew, Mah Kok Leong, Faizul Hilmy, Nathan Eliatamby, Leong Sai Hua dan Terrance Naidu.
BPR diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi.
Seorang daripada anggota Exco itu dan empat lelaki berkenaan ditahan di beberapa tempat di sini pada 6 petang Selasa lepas manakala seorang lagi anggota Exco ditahan di pejabat BPR Perak di sini pada 10.30 pagi semalam.
Selain anggota Exco, empat lelaki yang ditahan itu terdiri dua ahli perniagaan, seorang ahli Majlis Daerah Perak Tengah dan seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Kesemua suspek berumur antara 30 dan 57 tahun. Siasatan kes itu turut melibatkan rasuah seks.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment