Najib: BN sukar berdepan Anwar
Datuk Seri Najib Razak mengakui BN berdepan dengan kesukaran untuk menang dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon pembangkang di kerusi parlimen tersebut.
"Secara realistik, ia sukar. Kita akan berusaha sebaiknya," kata timbalan perdana menteri hari ini.
Mengulas lanjut keputusan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatannya sebagai anggota parlimen di kawasan itu, Najib berkata Anwar mempertaruhkan "masalah peribadi" kepada orang ramai.
"Tuduhan dibuat oleh pegawai khas beliau sendiri, bukan oleh kerajaan. Tetapi beliau memilih membawanya (isu itu) kepada pengundi," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran program khusus ke Universiti al-Azhar di Kuala Lumpur.
Pembantu penasihat PKR itu Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa diliwat dalam satu laporan polis 28 Jun lalu.
Kertas siasatan polis kini sudah disiapkan dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara sebelum memutuskan sama ada wujud kes prima facie terhadap mantan timbalan perdana menteri itu.
Desas-desas Anwar ditahan dan kemudian dibawa ke mahkamah semakin hangat diperkatakan.
Najib menambah, BN bagaimanapun tidak gentar menghadapi pilihanraya kecil itu kerana kerajaan pimpinan parti itu masih menguasai parlimen.
Anwar semalam mengumumkan bertanding di kerusi parlimen itu yang telah dikosongkan oleh isterinya itu pada sebelah pagi.
Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.
Dr Wan Azizah menguasainya selama tiga penggal apabila Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004 dan dilarang bertanding dalam pilihanraya umum Mac lalu.
Sementara itu perdana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, BN akan cuba merampas kembali kerusi parlimen itu.
BN tidak akan memberi kemenangan percuma kepada Anwar, katanya lagi selepas mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Al-Mutadee Billah di Putrajaya hari ini.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment