Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh cermin amalan demokrasi segar, kata Najib
BUKIT MERTAJAM 26 Ogos — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh hari ini yang disifatkannya sebagai mencerminkan amalan demokrasi yang masih segar di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya itu membuktikan tiada manipulasi daripada segi perjalanan demokrasi di negara ini.
“Tak tempang dari segi amalan demokrasi di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil itu di sini hari ini.
Penasihat PKR itu menang dengan majoriti 15,671 undi pada pilihan raya kecil itu.
Anwar memperoleh 31,195 undi, sementara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah mendapat 15,524 undi dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat 92 undi. Hanafi hilang wang pertaruhan.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Anwar, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata BN menghormati keputusan rakyat memilih Anwar sebagai anggota Parlimen kawasan itu.
“Seperti mana yang kita telah nyatakan dari awal lagi, bahawa kita akan hadapi laluan sukar dalam pertandingan ini,” katanya.
Mengambilkira undi BN menurun sebanyak 1,426 undi berbanding pilihan raya umum lepas, Najib berkata BN akan mengkaji kelemahan perikatan itu dan memperbaikinya.
“Kita bersedia buat perubahan yang perlu supaya dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN,” katanya sambil menambah, walaupun PKR menang kerusi Parlimen itu, namun jumlah anggota Parlimen pembangkang tidak akan bertambah.
Najib berkata walaupun pada awalnya BN menjangkakan dapat mengurangkan jumlah majoriti undi PKR, bagaimanapun ia gagal berikutan sentimen penduduk Permatang Pauh terhadap parti itu masih kuat.
- Bernama
No comments:
Post a Comment