18 August 2008

Abdullah nampak sangat memihak kepada Saiful | Sedangkan proses mahkamah sedang berjalan

Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi Sudah Menjadi Jurucakap Saiful Bukhari.

Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah meletakkan martabat dirinya begitu rendah apabila beliau membuat komen yang berpiahk kepada kepada tindakan Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat sumpah laknat.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib berkata selepas majlis bertemu rakyat di Kampung Permatang Rawa semalam, BN tidak mengeksploitasi kes liwat dalam pilihanraya kecil ini kerana ia adalah soal peribadi, namun nampaknya Perdana Menteri, Abdullah terus menjadikan isu liwat antara komen-komen popularnya kepada media.

Abdullah membela Saiful dan berkata, apa yang dilakukan oleh Saiful adalah pilihannya sendiri dan tiada siapa boleh memaksa beliau untuk membuat sumpah.

Isu sumpah itu telah menjadi bahan perbahasan antara penyokong Barisan Nasional (BN) dan parti politik lain pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, membuktikan ianya memang dirancang sedemikian.

Pilihan raya itu diadakan berikutan anggota Parlimen kawasan itu, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan itu pada 31 Julai bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di situ.

Pilihan raya kecil itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Datuk Arif Shah Omar Shah dari BN, Anwar dan presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat.

Abdullah terus membela Saiful dengan berkata, walaupun cara Saiful mengangkat sumpah dipertikaikan sesetengah pihak, namun beliau percaya apa yang ada di hati pemuda itu berupa niat untuk melahirkan sesuatu dalam bentuk sumpah.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak supaya memahami dan tidak memperlecehkan tindakan Mohd Saiful itu, sekaligus memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mengambil tindakan terhadap Saiful.

"Dengan itu perlu kita memahami dan tidak perlecehkan atau ambil apa-apa tindakan kepadanya atas tindakan itu kerana dia menghadapi masalah dan hanya dia yang tahu mengapa dia membuat sumpah itu," kata Abdullah.

Abdullah juga cuba menjadi hakim dan berkata jika perkara itu tidak serius, Saiful tidak akan sanggup memalukan dirinya dan membuat aduan kepada polis untuk menuntut hak bagi mendapatkan pembelaan dan menurutnya tindakan itu harus dihormati walaupun ia melibatkan soal peribadi pemuda itu.

"Kadang-kadang kita lupa yang orang kecil seperti dia yang meminta pembelaan. Kadang-kadang kita tak bagi pandangan dan kita keluarkan kenyataan yang tidak baik dan menghinakan dia pulak. Itu pandangan saya.

"Jangan lupa kepada dia kerana dia minta pembelaan dan dia menjadi mangsa, mengapa kita sibuk hal-hal lain pulak, yang lain kita nak utamakan, yang dituduh kita utamakan, tapi pada dia kita tidak ambil berat pula," katanya.

Dengan semua kata-kata Abdullah hari ini, tidak lagi menimbulkan keraguan kepada kita semua bahawa ia menegaskan tindakan Mohd Saiful memang ada kaitan dengan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Kata-kata Abdullah sebagai Perdana Menteri sepatutnya tidak memihak kepada mana-mana individu yang terlibat dengan proses mahkamah, namun hari ini kita dapati Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, sudan pun menjadi ‘budak suruhan dan jurucakap’ kepada Saiful Bukhari.

http://buletinonline.net

No comments:

Post a Comment