Sekatan ke Parlimen, jalan raya sesak pagi ini!
Seperti yang 'dijanjikan' oleh pihak polis hari ini telah mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur bagi menghadapi kemungkinan berlaku perhimpunan di bangunan Parlimen dan bantahan berhubung usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut wartawan Wan Nordin Wan Yaacob, yang bertolak daripada Negeri Sembilan jam 6.30 pagi tadi, terdapat tiga sekatan jalan raya oleh pihak polis yang menyebabkan kesesakan yang teruk daripada kebiasaannya.
Antara sekatan yang dikenal pasti ialah berhampiran Muzium Negeri Sembilan, Lebuh Raya Senawang- Seremban menuju ke Lebuh Raya Kuala Lumpur dan diadakan berdekatan Petronas Sungai Besi menyebabkan orang ramai merungut terutamanya yang menaiki bas kerana kelewatan mereka menuju ke tempat kerja masing-masing.
Dalam pada itu wartawan Nyza Ayob memaklumkan bahawa di Pandan Jaya dan Batu Caves terdapat beberapa sekatan jalan raya yang sudah pun diadakan semenjak semalam lagi.
Stesen-stesen radio juga melaporkan kesesakan jalan raya di hampir seluruh ibu kota, khususnya di Jalan Duta menuju ke Parlimen namun tidak menjelaskan punca sebenar mahupun jumlah sekatan jalan raya yang di buat oleh pihak polis.
Sementara itu Dato'Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa Pakatan Rakyat bertindak untuk menganjurkan perhimpunan hari ini.
"PAS tidak terbabit dengan tindakan sebegitu, malah semakan saya dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) juga menunjukkan mereka tidak pernah menganjurkan tunjuk perasaan sedemikian," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub yang turut serta menafikan dakwaan tersebut dan perkara ini juga dipersetujui oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang yang menyatakan hal yang sama.
Semalam pihak polis telah mendapat perintah mahkamah untuk melarang Anwar dan para penyokong pembangkang berada dalam lingkungan lima kilometer dari Parlimen dan akan membuat tangkapan jika pihak terbabit melanggari perintah tersebut.
Di Lebuh Raya Persekutuan, kesesakan masih berterusan berikutan beberapa sekatan teramasuk di pintu gerbang berhampiran Universiti Malaya, sementara wartawan Salmiyah Harun melaporkan satu sekatan dibuat di Kajang Silk menyebabkan kesesakan hampir 4mpat kilometer.
Turut dilaporkan, di Jalan Ipoh terdapat sekatan jalan raya yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment