Serangan seksual askar
Tuduhan tentera British sebat, bogel remaja Iraq disiasat
LONDON: Pihak berkuasa Britain melancarkan siasatan terhadap tuduhan bahawa beberapa askar British melakukan serangan seksual terhadap seorang remaja Iraq berusia 14 tahun, kata jurucakap Kementerian Pertahanan di sini, kelmarin.
"Tuduhan itu dirujuk kepada Polis Tentera Diraja, usaha sedang dilakukan untuk menghubungi pihak yang terbabit," katanya.
Akhbar Independent mendakwa, remaja itu yang kini berusia 19 tahun diserang pada Mei 2003 di kem tentera Britain, bread basket, dekat bandar Basra di selatan Iraq.
Remaja itu yang hanya dikenali sebagai Hassan kini mengambil tindakan sivil terhadap Kementerian Pertahanan berhubung serangan ke atasnya.
Katanya, dia dan beberapa orang lain ditahan, termasuk seorang rakannya, Tariq, kerana cuba mencuri bungkusan susu di sebuah pusat agihan makanan. Dia disebat, dipukul dan dipaksa berbogel.
"Mereka menyuruh saya duduk di riba sahabat saya. Mereka menghina dan mendera kami sepuas hati. Saya mahu mati saja pada masa itu. Kemudian, saya dipaksa memasukkan kemaluan Tariq dalam mulut. Dua orang lagi yang ditahan dipaksa melakukan perkara sama," katanya.
Pendedahan kejadian itu berlaku selepas kementerian berkenaan pada Khamis lalu berkata, mereka akan membayar hampir £3 juta (RM19.25 juta) sebagai pampasan ganti rugi kepada keluarga lelaki Iraq yang mati ketika disoal siasat pada 2003, selain lapan lagi warga Iraq yang disalah hukum.
Pekerja hotel, Baha Mousa, 26, dipukul dengan teruk sehingga mati ketika ditahan kerana disyaki terbabit dengan pejuang pemberontak di Basra, enam bulan selepas Amerika Syarikat menceroboh negara Teluk itu.
Tujuh askar Britain dihadapkan ke mahkamah tentera berhubung kejadian itu tahun lalu, tetapi hanya seorang didapati bersalah dan hanya dipenjara setahun.
Anggota pergerakan Liga Iraq, Mazin Younis, yang mengunjungi Basra bagi mengumpul kenyataan saksi mengenai dakwaan dera dan seksa berkata, beliau mempunyai lebih 80 kes tuduhan terhadap askar asing itu.
"Setiap kali saya mendapat kisah dera dan seksa, saya fikir itulah paling teruk. Tetapi, ada yang lebih teruk lagi selepas itu. Hassan sukar mengawal perasaan ketika menceritakan pengalamannya," katanya. Agensi/AFP
No comments:
Post a Comment