PETALING JAYA: Pada sidang akhbar hari ini - yang ketiga selepas dakwaan meliwat yang terbaru didedahkan Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, polis telah menggugurkan maklumat penting tentang hubungan antara Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Altantuya yang diberikan oleh bekas penyiasat peribadi Abdul Razak Baginda, P. Balasubramaniam dua tahun lalu.Maklumat itu dinyatakan dalam akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 yang dibuat oleh Balasubramaniam.
Ketika mengeluarkan akuan bersumpah itu di sini sebentar tadi, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar berkata, Balasubramaniam pernah memberikan maklumat berkenaan kepada polis, tetapi ia tidak dibawa ke mahkamah.
"Hari ini kita menyaksikan satu lagi episod petang yang konsisten mengenai penyalahgunaan kuasa dan manipulasi sistem kehakiman jenayah," katanya beliau pada sidang akhbar di sini sambil menambah, perkara ini adalah kaedah yang sama iaitu memanipulasi maklumat dan tidak direkodkan seperti yang berlaku dalam kes saya tahun 1998.
Anwar mengadakan sidang akhbar pertama selepas berhadapan dengan isu dakwaan meliwat pada Isnin lalu sejurus ketika keluar dari berlindung di rumah Duta Turki di Kuala Lumpur.
Sidang akhbar susulan diadakan kelmarin selepas membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.
Sabtu lalu pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa beliau diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu di sebuah apartmen mewah di Damansara Heights di sini pada 26 Jun lalu.
Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.
Khidmat Balasubramaniam telah digunakan oleh Razak Baginda untuk menangani dakwaan gangguan berterusan daripada Altantuya.
Kata Anwar, "hari ini beliau mengeluarkan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 kepada umum dengan memperincikan cerita yang beliau mengetengahkan dan apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang diperkatakan oleh beberapa personaliti dalam saga ini termasuk Abdul Razak Baginda dan Altantuya."
Kata Anwar lagi, kenyataan Balasubramaniam juga mendedahkan tahap hubungan antara Altantuya dan Najib.
"Bukti Balasubramaniam ini mendedahkan apa yang kami perkatakan sekian lama; tiada penyiasatan teratur berhubung kes Altantuya," katanya lagi.
Kata Anwar, dakwaan-dakwaan itu memerlukan penubuhan sebuah surahanjaya diraja untuk menjalankan siasatan.
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment