Anwar Mahu Polis Buktikan Empat Fakta Sebelum Benarkan DNA Diambil
MELAKA, 18 Julai (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang dalam siasatan polis kerana tuduhan meliwat, meminta polis membuktikan empat fakta yang kukuh sebelum membenarkan DNA beliau diambil.
"Bukti pertama, siapa rogol siapa, saya sakit pinggang, budak universiti (bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan) kuat.
"Bukti kedua, di mana (berlakunya kejadian), ketiga tempat mana dan keempat di mana saksi," katanya ketika menyampaikan ceramah politik yang dihadiri lebih 1,000 orang di Cheng di sini malam ini.
Katanya sekiranya empat bukti kukuh itu dikemukakan, beliau bersedia untuk diambil darah.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempertahankan tindakannya untuk tidak menjalani ujian DNA dengan mendakwa DNA hanya "corrobotive evidence" (bukti yang memberi pengesahan).
"Saya bukan tak boleh bagi darah, darah saya dulu telah diambil .. ingat," katanya bahawa sampel DNA beliau pernah dibawa ke mahkamah.
Beliau merujuk kepada kes tuduhan liwat pertama yang pernah dikemukakan ke atasnya 10 tahun lepas.
Anwar juga menuduh polis telah bertindak melampau ketika menahannya pada Rabu lepas seolah-olah beliau "Osama Laden" .
"Saya telah "diiringi" oleh berpuluh-puluh motosikal besar anggota polis ketika saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur, apa kesalahan saya," katanya.
Katanya semasa di lokap pula, beliau hanya beralaskan simen untuk beliau merehatkan diri.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment