07 July 2008

Sudahlah miskin, keselamatan rumah tidak terjamin. Bayangkan kita yang menduduki rumah begini

Tidak selamat di rumah sendiri - Bimbang bila rakyat asing kuasai perumahan kos rendah

KLANG - Bila tiada rumah bising-bising tetapi selepas dapat, disewakannya pula kepada warganegara asing.

Akibatnya bukan mereka yang tanggung tetapi masyarakat tempatan yang hidup terhimpit di tengah-tengah komuniti warga asing.

Itulah realitinya di Rumah Pangsa Bandar Bukit Tinggi 2, dekat sini, apabila majoriti penghuni atau kira-kira 70 peratus terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Peliknya, rumah kos rendah tersebut baru tiga tahun diduduki tetapi sebahagian besar pemilik yang sepatutnya golongan berpendapatan rendah, sudah menyewakannya kepada pihak lain.

Lebih mengejutkan, tinjauan Kosmo! ke flat berkenaan semalam mendapati, keadaan di penempatan itu tidak ubah seperti koloni warga asing sedangkan ia sepatutnya dihuni oleh penduduk miskin yang benar-benar tidak mempunyai rumah.

Rasa bimbang penduduk tempatan itu jelas disuarakan oleh Kevin Ng, 45, yang memberitahu, sejak rumah pangsa itu dipenuhi warga asing, kejadian kecurian dan pecah rumah sering berlaku selain persekitaran menjadi kotor.

"Rumah saya tidak terlepas, malah boleh dikatakan hampir keseluruhan rumah penduduk pernah dimasuki pencuri dan kesan pintu rumah diumpil boleh dilihat di kebanyakan rumah,'' ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, ekoran bilangan mereka lebih dari penduduk tempatan, warga asing itu sudah 'besar kepala' apabila sering membuat bising pada waktu malam, minum arak serta bergaduh.

Kes seumpama ini bukan pertama kali didedahkan, malah Kosmo! pada 30 Mac lalu, pernah melaporkan mengenai Projek Perumahan Rakyat (PPR), Pangsapuri Sri Kiambang dekat Taman Tasik Teratai, Serendah turut dikuasai warga asing.

Bagi seorang lagi penduduk Rumah Pangsa Bandar Bukit Tinggi 2, Hasnizam Daud, 27, beliau juga pernah berhadapan dengan saat cemas.

"Anak kecil saya yang bermain di luar dibawa lari warga asing sebelum sempat diselamatkan jiran," katanya.

Menurutnya, kawasan perumahan itu asalnya disediakan untuk setinggan sekitar Pelabuhan Klang serta golongan pendapatan rendah.

"Namun setelah tiga tahun diduduki, ia kini dipenuhi warga asing ekoran sikap pemilik yang menyewakan kepada mereka.

"Semuanya gara-gara tawaran sewa yang menarik dan permintaan tinggi dari warga asing, mereka sanggup mengosongkan rumah dan menyewakannya,'' ujarnya.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment