36 saksi kes liwat Polis sudah ambil keterangan 18 saksi termasuk empat doktor pakar
KUALA LUMPUR 6 Julai – Sekurang-kurangnya 36 saksi akan dipanggil membantu siasatan kes dakwaan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk 18 orang, empat daripadanya doktor pakar, yang telah diambil keterangan oleh polis setakat ini.
Ketika bilangan saksi yang diambil keterangan semakin meningkat, polis yakin baki saksi yang akan dipanggil adalah lebih ramai daripada jumlah mereka yang telah pun dirakamkan percakapan masing-masing berhubung kes itu.
Keempat-empat doktor yang telah memberi keterangan ialah para pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful membuat laporan polis mendakwa Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), telah meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini dua hari sebelum laporan itu dibuat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin memberitahu Utusan Malaysia, walaupun suspek (Anwar) tetap akan dipanggil untuk membantu siasatan, fokus penyiasatan polis ketika ini adalah mengumpul sebanyak mungkin maklumat daripada saksi-saksi terlebih dahulu.
Bagi menjamin keadilan kepada pengadu dan suspek, ujarnya, polis perlu meneliti dan menimbangkan semasak-masaknya keseluruhan maklumat yang diperoleh daripada kesemua saksi terbabit.
“Jumlah yang kita akan panggil untuk beri keterangan selepas ini lebih ramai daripada mereka (18 orang) yang telah dirakamkan percakapan setakat ini.
“Kita mahu siasat sedalam-dalamnya kes ini untuk menjamin berlaku keadilan. Berdasarkan keterangan saksi-saksi barulah polis siasat suspek... akan tiba masanya kita panggil dia (Anwar),” kata Mohd. Bakri.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan hubungan seks luar tabii tanpa kerelaan.
Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful, 23, yang juga bekas pembantu Anwar, 60, membuat laporan di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur mendakwa dia diliwat oleh majikannya itu sebelum menjalani pemeriksaan perubatan.
Ketika ditanya siapakah saksi lain selain empat doktor yang dirakamkan percakapan mereka, Mohd. Bakri enggan mendedahkannya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang dikumpulkan daripada kesemua saksi, polis akan membuat pertimbangan sama ada untuk memanggil Anwar.
Pertimbangan itu, kata Mohd. Bakri, turut mengambil kira laporan perubatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah dijalankan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan keputusan ujian DNA itu dan juga kandungan laporan perubatan Mohd. Saiful.
“Sama ada kita sudah dapat atau tidak laporan DNA itu, saya tidak boleh dedahkan, sebab kalau ada kes pun, ia hanya akan diberitahu dalam mahkamah.
“Oleh itu, kalau ada pihak termasuk pengendali blog di Internet yang mendakwa kononnya mereka mempunyai maklumat berkaitan laporan perubatan dan DNA kes itu, kita anggap ia sebagai andaian semata-mata,” katanya.
Utusan Malaysia difahamkan, laporan perubatan dan ujian DNA terhadap Mohd. Saiful telah pun diserahkan oleh Hospital Kuala Lumpur kepada pihak polis dan ia kini dipercayai digunakan sebagai panduan penyiasatan kes liwat tersebut.
Sementara itu, pada sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pagi ini, Mohd. Bakri menjelaskan, polis sedang mengenal pasti saksi-saksi yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan untuk dipanggil membantu siasatan.
Beliau berkata, saksi-saksi itu akan dihubungi untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan mereka diminta memberi kerjasama kepada polis.
Pada masa sama, beliau mengingatkan, mana-mana saksi yang telah dikenal pasti tetapi enggan berbuat demikian boleh diserahkan notis perintah mahkamah untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 111 kanun yang sama.
“Saya meminta mereka jangan sengaja mengelakkan diri (daripada menghadirkan diri) apabila dipanggil oleh polis,” katanya.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment