14 July 2008

Siti Nadzirah dapat hak penjagaan kekal

SHAH ALAM 14 Julai - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan hak penjagaan kekal anak kepada Siti Nadzirah Mohd. Nasir selepas mendengar ibu muda yang nekad melarikan anaknya, Arman Khan dari Pakistan, melafazkan sumpah istizhar.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad memutuskan demikian, dalam keadaan defendan Fazal Azim Abdul Ahad, 24, tidak pernah hadir ke mahkamah meskipun pihak kedutaan Malaysia di Pakistan telah menyempurnakan penyampaian saman kepadanya.

Menurut hakim itu, sepanjang perbicaraan, defendan tidak pernah hadir dan mahkamah terpaksa bergantung kepada keterangan plaintif semata-mata.

Memetik peruntukan Seksyen 82 Enekmen Undang-Uundang Keluarga Islam Selangor, berdasarkan peruntukan itu, Abu Zaky berkata dalam keadaan perkahwinan masih berlangsung, ibu ialah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya.

"Sehinggalah bukti atau keterangan yang dikemukakan defendan sebaliknya. Namun dalam keadaan defendan tidak pernah hadir sepanjang perbicaraan mahkamah terpaksa bergantung kepada keterangan plaintif," ujar beliau.

Sehubungan itu, Abu Zaky kemudiannya bertanya, sama ada Siti Nadzirah bersedia untuk melafazkan sumpah.

Selepas rela hati berbuat demikian, Siti Nadzirah, seorang penuntut sebuah kolej swasta kedengaran melafazkan sumpah istizhar pada pukul 10.15 pagi.

Siti Nadzirah berkahwin dengan suaminya pada 17 Januari 2006, dan dikurniakan seorang anak yang kini berusia setahun lapan bulan. Dia telah pulang mengikut suaminya itu ke Pakistan dan mendakwa telah menerima layanan buruk daripada keluarga mertuanya.

Siti Nadzirah bagaimanapun telah berjaya membawa pulang anaknya ke Malaysia setelah menempuh pelbagai rintangan sepanjang perjalanan dari Pakistan pada 21 November 2007.

Siti Nadzirah diwakili peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar - Utusan

No comments:

Post a Comment