Sidang Dewan Rakyat terganggu hampir 45 minit
Sidang Dewan Rakyat terganggu hampir 45 minit berikutan tindakan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang saling cemuh-mencemuh antara satu sama lain berhubung isu penutupan beberapa jalan masuk ke bangunan Parlimen.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang menyatakan tindakan polis menutup beberapa jalan utama ke Parlimen menyebabkan kesesakan teruk.
Kit Siang menegaskan, pada 28 April lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan usul untuk mengarahkan Ketua Polis Negara memastikan semua jalan utama ke Parlimen tidak dihalang bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen keluar dan masuk secara bebas.
Yang Dipertua Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagaimanapun menegaskan, beliau telah mendapat nasihat daripada polis mengenai masalah keselamatan dan keretanya turut ditahan semasa memasuki bangunan Parlimen.
Tindakan polis itu juga menyebabkan kira-kira 20 petugas media tidak dapat memasuki bangunan Parlimen kerana dihalang oleh anggota-anggota polis yang membuat beberapa sekatan di laluan utama.
Petugas-petugas media hanya dapat memasuki bangunan Parlimen apabila Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) dan Timbalannya, Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) campur tangan bagi membolehkan petugas-petugas media memasuki bangunan Parlimen. - Utusan
No comments:
Post a Comment