Polis ambil keterangan Bala di negara jiran
KUALA LUMPUR 9 Julai - Polis yang berjaya mengesan P. Balasubramaniam, isteri dan anaknya yang kini berada di sebuah negara jiran selepas dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu, telah mengambil keterangan daripada penyiasat persendirian itu berhubung akuan bersumpahnya.
Sepasukan anggota polis telah dihantar untuk merakam percakapan Balasubramaniam berhubung dua akuan bersumpah yang dibuatnya baru-baru ini berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin yang dihubungi Utusan Malaysia malam ini memberitahu, polis berjaya mengesan Balasubramaniam melalui bantuan polis negara jiran itu.
Katanya, penghantaran sepasukan pegawai polis ke lokasi Balasubramaniam itu bukan bertujuan menahan lelaki itu, sebaliknya hanya untuk mengambil keterangannya.
Mohd. Bakri bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi sebenar penyiasat persendirian itu berada bagi mengelak Balasubramaniam diganggu oleh mana- mana pihak.
"Apa-apa pun kita kena siasat dulu, kita perlu kaji perundangan dulu sebelum mengambil tindakan (termasuk menahan Balasubramaniam).
"Apa yang saya boleh bagi tahu sekarang hanyalah dia, isteri dan tiga orang anaknya selamat," katanya.
Ketika ditanya mengenai maklumat mengatakan Balasubramaniam kini bersembunyi di Singapura, Mohd. Bakri enggan memberi sebarang komen.
Mengenai maklumat awal berhubung keterangan yang diambil daripada Balasubramaniam, beliau memberitahu:
"Setakat pukul 8.30 malam ini, saya belum terima sebarang maklumat daripada pegawai-pegawai saya yang dihantar ke lokasi Balasubramaniam berada.
"Berilah masa dan ruang kepada polis, kami perlu masa untuk siasat dengan telus dan profesional. Jangan terlalu menekan polis sehingga menyukarkan kerja kami," katanya.
Akuan sumpah pertama Balasubramaniam pada 1 Julai itu menimbulkan kontroversi apabila ia mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan Altantuya.
Bagaimanapun, 24 jam kemudian, Balasubramaniam menarik balik semua tuduhan itu kerana mendakwa dia dalam keadaan tertekan ketika membuat akuan bersumpah pertama yang diumumkan pada sidang akhbar bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Balasubramaniam ialah penyiasat persendirian yang diupah oleh tertuduh dalam kes pembunuhan Altantuya, Abdul Razak Baginda untuk menghalang Altantuya bertemunya beberapa hari sebelum wanita Mongolia itu dibunuh pada 2006.
Penyiasat persendirian itu bersama isteri dan tiga anaknya yang berusia antara enam dan 11 tahun menghilangkan diri sejak 3 Julai lalu.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment