Isu Matematik, Sains dalam BI ke meja bulat
PUTRAJAYA 9 Julai - Kementerian Pelajaran akan mengadakan persidangan meja bulat bagi mengumpul dan meneliti hasil kajian mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, siri pertama persidangan meja bulat PPSMI akan diadakan selama tiga hari, bermula 14 Julai ini.
Beliau berkata, pengumpulan hasil kajian itu penting untuk membolehkan kementerian mendapatkan gambaran tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi menentukan dasar sama ada PPSMI perlu dihentikan atau sebaliknya.
''Persidangan ini bertujuan meneliti semua laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan dengan pelaksanaan PPSMI pada 2005 hingga 2008.
''Ia akan disertai oleh ahli akademik dan penyelidik dari dalam dan luar Kementerian Pelajaran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, antara hasil kajian yang akan dibentangkan ialah pencapaian murid oleh Pusat Perkembangan Kurikulum kementerian.
Beliau menambah, hasil kajian berkaitan keberkesanan PPSMI pula akan dibentangkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, manakala kajian berkaitan pemantauan kolaboratif PPSMI oleh jemaah nazir sekolah.
''Juga dibentangkan ialah kajian yang dilakukan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Teknologi MARA," katanya.
Beliau berkata, peserta yang akan menghadiri persidangan itu terdiri daripada ketua-ketua jabatan di bahagian profesional, penyelidik dan pegawai pelaksana di Kementerian Pelajaran serta IPTA.
''Peserta juga terdiri daripada wakil Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Majlis Pengetua, Majlis Guru Besar dan naib canselor IPTA.
''Saya berharap majlis ini dapat menghasilkan perbincangan yang telus dan objektif serta berfokuskan kepada hasil daripada kajian yang dibentangkan," katanya.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment