02 July 2008

Seorang pun tak melompat, rakyat pun ada batas kesabaran dan kewarasan, Anwar

Akuan pembabitan pejabat Najib

PKR mempunyai satu akuan berkanun yang mengaitkan pembabitan pejabat Datuk Seri Najib Razak dengan dakwaan liwat terbaru yang dilaporkan kepada polis Sabtu lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Hari ini kita ada satu pengakuan bersumpah daripada seseorang yang belum kita dedahkan yang tahu bahawa memang ada pakatan dan perencanaan yang melibatkan pejabat timbalan perdana menteri untuk menghina saya," kata penasihat PKR malam ini dalam program ceramah penjelasan isu panas tersebut.

Sebelum itu beliau mengulangi lagi dakwaan awalnya di sidang media petang tadi, bahawa wujud penglibatan Najib bersama isterinya Rosmah Mansor dan pegawainya Khairil Anas Yusof dalam dakwaan pemuda yang membuat laporan polis Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau turut mengulangi laporan polisnya di Shah Alam - mendakwa peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan terlibat dalam pemalsuan laporan kedua kes beliau ditumbuk oleh Tan Sri Rahim Noor pada 1998, ketua polis negara waktu itu.

Ucapannya hampir sejam itu diikuti pemaparan imej-imej individu-individu berpengaruh, termasuk Najib dan isterinya, yang disebutkan dalam ucapannya.

Selain imej Abdul Gani, Musa, Khairil Anas dan Mohd Saiful, imej-imej demonstrasi Gerakan Reformasi 1998 dan perhimpunan Bersih tahun lalu turut ditayangkan di skrin besar di belakang Anwar.

Dalam program tersebut, lebih 10,000 penyokong Anwar hadir di Stadium Melawati di Shah Alam untuk mendengar sendiri ucapan tokoh pembangkang tersebut.

Selain tayangan imej, turut dinaikkan kain pemidang besar, dianggarkan bersaiz 5 x 5 meter, di bahagian atas, belakang pentas utama.

Pemidang itu memaparkan imej mata lebam Anwar yang dibelasah Rahim sedekad lalu dengan tulisan berhurug besar "jangan biarkan ini berlaku lagi."

Tiga pemidang berimej yang sama dalam saiz lebih kecil digantung di dalam stadium itu.

Sebelum Anwar menyampaikan ucapannya pada 10.20 malam, program yang dipengerusikan oleh ahli parlimen dimulakan dengan ucapan dua naib presiden PKR - Sivarasa Rasiah dan Mohd Azmin Ali.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment