30 July 2008

Sememangnya menjadi harapan rakyat polis menjalankan siasatan secara profesional dan pantas

Artikel Laman Blog Mengenai Laporan Perubatan Hanya Spekulasi, Kata Polis

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari Selasa berkata laporan Internet kononnya seorang doktor tidak menemui sebarang bukti perubatan pada lelaki yang mendakwa dia diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, semata-mata bertujuan melencongkan persepsi orang ramai dan melemahkan semangat pasukan polis.

Katanya artikel berkenaan yang bertajuk "Doctor on the Run: Police Want Him to Fabricate Evidence Against Anwar" (Doktor Dalam Buruan: Polis Mahu Beliau Reka Bukti Terhadap Anwar) yang tersiar dalam portal berita "Malaysia Today" hanya berdasarkan dengar cakap, bersifat spekulatif dan merupakan tuduhan yang tidak adil.

"Polis ingin menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa tidak terdapat sedikit pun kebenaran dalam tuduhan yang terkandung dalam artikel itu. Semasa menyiasat kes ini, polis tidak pernah langsung menahan seorang doktor atau memaksanya mereka-rekakan bukti terhadap suspek," kata beliau dalam satu kenyataan hari Selasa.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai laporan itu sebelum menyiasat kesahihannya.

Ismail berkata polis tidak akan sekali-kali terpengaruh atau boleh digertak oleh mana-mana pihak supaya mengabaikan penyiasatan terhadap kes berkenaan dan pasukan itu menjalankan siasatan secara profesional dan pantas.

Beliau berkata pelbagai dakwaan berhubung kes itu kini tersiar dalam laman blog dan adalah tidak wajar bagi polis memberi respons terhadapnya kerana kes berkenaan masih disiasat.

"Polis sedar kes ini perlu ditangani secara adil dan tidak memihak kepada sesiapa agar orang ramai mempunyai keyakinan tentang cara ia dikendalikan," kata beliau.

Ismail berkata sebaik saja siasatan terhadap kes berkenaan selesai, polis akan mengemukakannya kepada Pejabat Peguam Negara.

"Keputusan sama ada pertuduhan akan dikenakan terhadap suspek, terletak sepenuhnya di tangan Pejabat Peguam Negara dan polis akan menghormati keputusan itu," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment