30 July 2008

Pasukan polis perlu buru habis-habisan penjenayah yang mengancam anak-anak kecil ini

Penculik Sharlinie berkeliaran?

Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian penculikan melibatkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Klang, pada 26 Julai lalu, supaya tampil memberi maklumat.

Dalam kejadian itu, remaja perempuan berkenaan dilarikan oleh lima lelaki menaiki van di satu perhentian bas dekat Sungai Kapar Indah, Klang.

Bagaimanapun, gadis sunti berkenaan berjaya melarikan diri ketika pintu van itu terbuka di satu selekoh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini, polis belum menerima maklumat daripada mana-mana saksi kejadian yang dapat membantu siasatan.

"Tiada sebarang lakaran fotofit, pengecaman atau tangkapan dilakukan pada masa ini.

"Sokongan dan bantuan orang awam amat diperlukan bagi membantu pihak polis dalam usaha mengesan suspek-suspek kes culik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khalid ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai dakwaan remaja perempuan itu yang mendakwa dirinya diculik lima lelaki dan dibawa menaiki sebuah van tetapi berjaya melepaskan diri.

Remaja berkenaan turut mendakwa, dia melihat gambar mangsa culik, Sharlinie Mohd. Nashar, 6, yang hilang sejak 9 Januari lalu di samping beberapa foto kanak-kanak lain yang ditanda 'X' dalam van tersebut.

Khalid menambah, polis juga akan meneruskan siasatan ke atas kes-kes lama berhubung penculikan kanak-kanak di negeri ini termasuk kes Sharlinie.

"Polis tidak pernah tutup kes-kes lama sebaliknya akan teruskan mencari mangsa," katanya.

Sharlinie hilang dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama kakaknya, Sharlinie di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari lalu.

Muhamad Asmawi atau Awie pula hilang ketika pulang dari sebuah taman permainan berdekatan rumahnya di Lot 127, Jalan Permai Tujuh, Lembah Pantai di sini, 9 Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed memberitahu Utusan Malaysia, pihaknya akan bekerjasama dengan polis Klang memandangkan terdapat maklumat berkaitan Sharlinie dalam kes terbaru tersebut.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment