KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden SAPP Datuk Eric E. Majimbun hari ini berkata, parti itu tidak membatalkan cadangan membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, parti itu hanya menangguhkan cadangan itu buat sementara waktu memandangkan kekeliruan politik yang dihadapi negara masa kini dan tidak membatalnya terus.
"Kami tidak pernah mengatakan cadangan itu dibatalkan," katanya di lobi Parlimen sambil menjelaskan ada kemungkinan ia akan dibawa semula di masa akan datang.
Dalam satu petikan di dalam akhbar semalam, naib presiden parti itu Dr Chua Soon Bui, melaporkan cadangan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu telah dibatalkan.
Dr Chua yang juga ahli Parlimen Tawau dipetik sebagai berkata bahawa keputusan itu dibuat setelah mengambil kira suasana politik sekarang yang menjadikan cadangan itu tidak lagi sesuai.
Majimbun yang juga ahli Parlimen Sepanggar berkata, sehingga kini SAPP masih kekal di dalam Barisan Nasional.
Parti itu juga, katanya sedang dalam proses menyiapkan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang diberikan kepadanya oleh BN.
Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya dua minggu lalu memberikan SAPP sehingga 29 Julai untuk menjawab surat tunjuk sebab terhadap cadangannya untuk membuat undi tidak percaya terhadap Abdullah.
Ditanya sama ada SAPP telah pun menghantar notis kepada Parlimen untuk membuat cadangan itu di masa akan datang, Majimbun berkata ia akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat apabila tiba masanya.
Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan lebih banyak tumpuan kepada Sabah akhir-akhir ini.
Mengenai dakwaan terdapat ugutan terhadap keselamatan beliau dan Dr Chua berikutan cadangan undi tidak percaya itu, Majimbun berkata, ia sudah pun berlalu.
"Saya rasa selamat di Malaysia. Ini adalah negara kita," tambahnya.
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment