Media pula dipersalah
KUALA TERENGGANU 27 Julai - Pendedahan media berhubung isu penggunaan Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi Exco Terengganu bagi menggantikan kereta Proton Perdana V6 Executive menimbulkan perasaan kurang senang segelintir pemimpin di negeri ini.
Mereka mempertikaikan wartawan yang memainkan isu itu dengan menganggap tahap kredibiliti golongan tersebut rendah dan soalan yang ditanya berhubung perkara itu 'tidak bertaraf nasional dan antarabangsa'.
''Wartawan pun kena belajar tanya soalan, biar 'kelas' sikit. Isu benda-benda (apa jua isu) biar nasional, biar antarabangsa punya soalan,'' kata Bendahari UMNO negeri, Datuk Roslan Awang Chik.
Roslan membuat kenyataan tersebut apabila wartawan bertanyakan soalan mengenai isu itu kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said selepas majlis perjumpaan dengan para pemimpin empat sayap UMNO di sini malam tadi.
Ketika soalan itu diajukan, Ahmad kelihatan tenang namun beberapa pemimpin negeri mencelah dan meluahkan perasaan tidak puas hati berhubung tindakan media memainkan isu kereta Mercedes itu.
Sementara itu, Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hassan turut mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia melaporkan isu itu di muka hadapan akhbar tersebut pada Ahad lepas sehingga ia menimbulkan polemik.
''Saya lihat kualiti wartawan kita (rendah) bila buat soalan, apa yang awak semua mahu? Adakah (berita) dipantau oleh pengarang atau memang awak fikir berita ini (penggunaan Mercedes) baik untuk rakyat atau kerajaan?'' soalnya.
Menurutnya, isu pembelian Mercedes itu yang melibatkan perbelanjaan lebih RM3.43 juta adalah jumlah yang kecil bagi perbelanjaan sesebuah kerajaan negeri. Rosli hairan mengapa ia diheboh-hebohkan.
''Awak fikir RM3.43 juta beli Mercedes ini besar sangatkah bagi sesebuah negeri? Apa pendapat wartawan? Kenapa tidak paparkan perkara-perkara yang positif. Cuba anda jawab," ujarnya.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment