BPR tahan 8 kereta exco T'ganu
Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menahan lapan kereta Proton Perdana V6 Executive exco dan pegawai kanan kerajaan Terengganu bagi membantu siasatan berhubung kos penyenggaraan kenderaan itu yang terlalu tinggi.
Pengarah BPR Terengganu, Sharuddin Sapian ketika dihubungi berkata empat daripada kereta berkenaan ditahan Khamis lepas manakala bakinya ditahan sehari kemudian.
Beliau, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai lapan kereta yang ditahan itu, demikian menurut laporan Bernama.
Semalam, Sharuddin berkata setakat ini sembilan individu telah dipanggil oleh BPR untuk memberi keterangan berhubung isu berkenaan.
Khamis lepas, pegawai BPR memulakan siasatan kes itu dengan mengambil dokumen dari pejabat Perbendaharaan Negeri diikuti tindakan sama di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, ahli exco dan pegawai kanan kerajaan Terengganu akan menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi buat sementara waktu sehingga BPR selesai menjalankan siasatan terhadap kereta Proton Perdana V6 Executive.
Pada masa ini, katanya, BPR telah mengambil kereta Proton Perdana V6 kerajaan negeri itu untuk siasatan berhubung kos penyenggaraannya yang terlalu tinggi.
Akur arahan TPM
"BPR telah ambil kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri. Jadi mereka kena pakai dululah (kereta Mercedes)...perdana menteri pun dah kata, sekali-sekala boleh pakai kereta Mercedes ini," katanya kepada pemberita di Terengganu.
Dua hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kesemua 14 kereta Mercedes E200 Kompressor yang telah dibeli kerajaan Terengganu hanya akan digunakan untuk membawa tetamu-tetamu kerajaan negeri.
Ditanya sama ada kerajaan Terengganu akan membeli kereta Proton Perdana V6 Executive yang baru kerana kereta nasional kerajaan negeri sedia ada itu didakwanya sering menghadapi masalah, Ahmad berkata: "Kalau nak beli pun tahun depan. Itu pun kalau (kerajaan negeri) ada duit."
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan kerajaan negeri tidak pernah berniat untuk menjatuhkan imej Datuk Seri Idris Jusoh berhubung kenyataan yang menyebut kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive yang pernah digunakan bekas menteri besar Terengganu itu, adalah yang tertinggi di kalangan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.
"Kita tidak tuju pada Datuk Seri Idris. Bukan dia salah guna, Cuma (kebetulan) kereta itu digunakan oleh Menteri Besar. Sebenarnya jumlah itu silap dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Mokhtar Nong) telah pun membuat permohonan maaf," katanya.
Ahmad juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai tindakan bekas menteri besar Terengganu itu yang melantik seorang peguam untuk meneliti dan memikirkan tindakan susulan berhubung perkara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad akur dengan arahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya beliau tidak memperbesar-besarkan perkara lain setelah isu mengenai pembelian kereta Mercedes itu selesai.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment