Polis nafi siar gambar Anwar
Pendedahan kepada umum rakaman CCTV ketika ditahan tak perlu: Ismail
KUALA LUMPUR: Polis menafikan akan mendedahkan gambar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), pada 16 dan 17 Julai lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi semalam berkata, polis tidak akan menyiarkan rakaman itu kepada umum kerana tidak perlu berbuat demikian.
"Tidak ada... polis tiada rancangan seperti itu (menyiarkan gambar Anwar dalam tahanan kepada umum)," katanya ketika mengulas laporan laman web The Malaysian Insider, bahawa polis menimbang berbuat demikian bagi menunjukkan layanan diberikan polis kepada Anwar ketika ditahan di IPKKL.
Laporan itu menyebut, polis mungkin berbuat demikian dalam tempoh 48 jam untuk mematahkan dakwaan Anwar yang mendakwa dilayan buruk ketika ditahan.
Anwar yang ditahan sepasukan anggota polis berdekatan rumahnya di Bukit Segambut, kira kira jam 1 petang, 16 Julai lalu, dibawa ke IPKKL untuk diambil keterangan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis keesokannya.
Walaupun mengesahkan tidak dipukul, Anwar mengadu sakit belakang selepas terpaksa tidur di atas lantai lokap yang sejuk.
Sementara itu, peguam Anwar, R Sivarasa mendakwa polis membuat rakaman video sepanjang Penasihat PKR itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
"Gambar Anwar dirakam sejak mula memasuki tingkat tujuh IPKKL pada hari beliau ditahan termasuk ketika mahu menunaikan solat sehingga dibebaskan.
"Sepanjang menjadi peguam, saya tidak pernah melihat orang dalam tahanan polis dirakam gambarnya sebegitu rupa. Jadi timbul pelbagai persoalan mengapa ini dibuat," katanya.
Sivarasa juga mendakwa sepasukan anggota forensik memasuki lokap sebaik Anwar dibebaskan untuk mengambil sampel di lantai, seperti rambut atau sel kulit hingga menimbulkan pelbagai persoalan mengenai motifnya.
"Polis mungkin mahu mengambil sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA), tetapi cara itu akan dibantah di mahkamah jika digunakan," katanya.
www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment