19 July 2008

Penyamun pun tahu hukum

Pencuri minta halalkan - Empat pejabat perumahan dan hartanah dipecah masuk

ALOR STAR - Halalkan barang yang dicuri.
Begitulah pesanan yang ditulis sekumpulan penyamun selepas memecah masuk empat pejabat syarikat perumahan dan hartanah yang terletak di dalam Kompleks Alor Star di sini pagi semalam.

Malah difahamkan penyamun berkenaan juga turut meninggalkan pengenalan diri yang dipercayai dari sebuah kumpulan 'punk' di setiap pejabat yang dimasuki sebelum melarikan lebih 10 buah komputer peribadi dan barangan lain.

Menurut saksi yang bekerja di salah sebuah pejabat tersebut, Fadzil Mat Isa, 32, kejadian tersebut adalah kali kedua berlaku sejak dua minggu lalu selepas syarikatnya mengalami kerugian hampir RM10,000 akibat kes yang pertama.

Jelasnya, kerugian bagi kali ini mungkin mencecah RM20,000 kerana bukan setakat komputer malah televisyen, kamera digital dan 'walkie-talkie' yang berharga ribuan ringgit turut hilang.

Tambahnya, tidak cukup dengan mencuri barangan di dalam pejabat tersebut penyamun itu turut meninggalkan pesanan yang tertulis 'sori erk kami boom kedai hang, halal noh' dan 'punk nazi' sebagai tanda kumpulan mereka.

Seorang lagi saksi, Noraini Yusoff, 26, berkata, ketika tiba di pejabat pada pukul 9 pagi semalam dia terkejut melihat pintu pejabatnya telah diumpil dan dokumen penting pula berselerak di kaki lima luar pejabatnya.

"Saya ingatkan hanya pejabat ini yang dipecah masuk tetapi rupa-rupanya tiga lagi pejabat di sebelah turut menerima musibah yang sama," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Ekoran kejadian itu, Noraini dan beberapa lagi pekerja di pejabat yang turut dipecah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Star.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment