26 July 2008

Pensyarah Berkelulusan PHD Dilantik Terus Ke Gred 51

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Semua pensyarah di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mempunyai kelayakan Doktor Falsafah (PhD) akan dilantik terus ke gred 51, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Jumaat.

Beliau berkata langkah itu adalah antara tiga keutamaan yang sedang dikenal pasti kementerian untuk membina budaya kecemerlangan di kalangan ahli akademik.

"Secara prinsipnya kerajaan bersetuju mengenai langkah itu kerana calon yang mempunyai PhD dianggap mempunyai kecemerlangan yang tinggi mutunya dan dapat meningkatkan serta memperkasakan kualiti pengajaran dan pembelajaran di IPTA," katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara di sini.

Mengikut skim perkhidmatan yang sedia ada pensyarah universiti sepatutnya dilantik ke gred 45 walaupun mempunyai PhD.

Khaled berkata calon-calon dalam bidang industri yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang tertentu juga akan dilantik terus ke gred 51 sekiranya berminat untuk berkhidmat sebagai pensyarah.

Menurutnya dua lagi langkah yang sedang dikenal pasti ialah menyediakan peluang latihan serta pembangunan profesion melalui penubuhan Akademi Pengajian Tinggi Negara dan menghargai pencapaian akademik melalui pengiktirafan dan anugerah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment