Pertemuan Jabatan Pelajaran-PIBG cari penyelesaian kes histeria
KUANTAN 25 Julai – Jabatan Pelajaran Negeri Pahang akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur di sini Isnin ini dalam usaha mencari penyelesaian berhubung kejadian misteri yang berlaku di sekolah itu sejak Mei lalu.
Pada masa sama, Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff turut mengalu-alukan mana-mana pihak terutama pengamal perubatan tradisional yang mampu menyelesaikan masalah tersebut agar segera menghubungi sekolah terbabit untuk menghulurkan bantuan.
Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan mendapatkan pandangan pihak ibu bapa dan sekolah memandangkan pelajar tingkatan tiga akan mula menghadapi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.
“Kita akan bekerjasama dengan PIBG dan penduduk setempat untuk mencari kaedah yang dapat membantu menyelesaikan kejadian yang kita anggap misteri ini.
“Tidak lama lagi PMR, kita juga akan memikirkan sama ada perlu menempatkan sementara pelajar yang akan mengambil peperiksaan di sekolah ini atau di tempat lain supaya mereka tidak terganggu sepanjang tempoh itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya hari ini menyiarkan kisah sebuah sekolah menengah di sini yang diselubungi kejadian misteri apabila sebilangan pelajar perempuannya diserang histeria hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.
Lebih memburukkan keadaan, pada waktu rehat, segelintir pelajar perempuan dikatakan mengalami sakit sendi hingga terpaksa berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua yang uzur. Kejadian itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.
Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan bagi menangani masalah yang berlaku sebaik sahaja menerima laporan daripada pihak sekolah.
Malah, katanya, pihak sekolah sebelum ini telah melakukan pelbagai ikhtiar untuk memulihkan keadaan termasuk mengadakan solat hajat yang turut dihadiri oleh beliau sendiri.
Bagaimanapun, jelas Abdul Aziz, usaha-usaha yang dilakukan termasuk menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional gagal meninggalkan kesan yang diharapkan.
“Masalah yang dikatakan sebagai histeria ini hanya membabitkan pelajar dan guru perempuan. Ia berlaku tidak kira masa, kadang-kadang pagi dan kadang-kadang tengah hari.
“Setakat ini, dua guru perempuan dilaporkan mengalami gangguan yang sama dan kita telah mengambil beberapa tindakan untuk memulihkan keadaan,” ujarnya.
Guru-guru terbabit, katanya, berjaya dipulihkan dan telah kembali bertugas seperti biasa.
Ditanya apa yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku, Abdul Aziz memberitahu, ia mungkin ada kaitan dengan projek pembinaan bangunan tambahan sekolah berkenaan.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment