Rosmah: Saya tidak takut apa-apa
Isteri timbalan perdana menteri berkata beliau tidak bersalah dan "tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan" berhubung dakwaan terlibat dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Rosmah Mansor berkata beliau "OK" apabila ditanya perasaannya apabila dituduh sedemikian oleh penulis blog popular Raja Petra Kamarudin.
Beliau sebelum itu merasmikan persidangan Asia Pasifik mengenai penerbitan buku kanak-kanak di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini.
Rabu lepas, Datuk Seri Najib Razak menafikan isterinya terbabit dalam pembunuhan wanita Mongolia itu seperti didakwa oleh pengendali blog Malaysia Today minggu sebelumnya.
Najib juga berkata, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan berkanun penulis sensasi itu.
Najib berkata akuan Raja Petra itu satu "pembohongan dan sampah" semata-mata.
Najib juga menyifatkannya sebagai satu tindakan terdesak untuk mencemarkan imej politik beliau.
Raja Petra, dalam akuan berkanunnya 18 Jun lalu, mendakwa Rosmah bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum warga asing itu diletupkan.
Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pengendali blog itu juga mendakwa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima maklumat tentang pembabitan tiga individu itu, termasuk Rosmah, dan menyerahkan laporan perisikan kepada menantunya dan juga naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan telah mengambil keterangan Rosmah dan dua lagi yang dikaitkan dengannya, seperti dalam akuan Raja Petra, yakni seorang yang didakwa berpangkat kolonel dan isterinya, yang juga pengawal peribadi isteri Najib.
Satu pasukan siasatan khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman merakamkan keterangan Rosmah di kediamannya kelmarin, kata pengarah siasatan polis persekutuan Datuk Bakri Zinin hari ini, lapor Bernama.
Abdullah dan Khairy masing-masing telah menafikan dakwaan dalam akuan berkanun Raja Petra.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment