06 July 2008

Obama jamin tamatkan perang Iraq jika menang

ST. LOUIS 6 Julai – Calon Demokrat ke White House, Barack Obama semalam memberi jaminan rancangan beliau untuk menamatkan perang di Iraq sekiranya beliau menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) tetap tidak berubah.

Obama melahirkan rasa hairan dengan kritikan tajam terhadap kenyataannya minggu ini bahawa beliau mungkin “memperhalus” jadual waktu untuk mengundurkan askar tempur AS dari Iraq.

“Saya tidak fikir kenyataan saya itu bercanggah dengan kenyataan terdahulu dan mengubah pandangan strategik saya bahawa perang itu perlu ditamatkan dan saya akan menamatkannya sebagai Presiden,” kata Obama kepada wartawan di dalam pesawatnya.

Senator dari Illinois itu telah menjadikan tentangan awalnya terhadap perang di Iraq sebagai hujah utama kempen beliau untuk merebut pencalonan Parti Demokrat.

Obama pada Rabu lalu menyatakan, beliau mungkin meminda rancangannya untuk membawa pulang askar AS dalam tempoh 16 bulan selepas menduduki White House jika keadaan di Iraq berubah.

Kenyataan itu mendapat liputan meluas dan kritikan pedas daripada pelbagai pihak, dengan kem Parti Republikan mendakwa Obama kini mula berdolak-dalik berhubung Iraq.

Beliau bagaimanapun menegaskan komitmen penuhnya untuk menamatkan perang itu.

“Saya akan memanggil semua ketua turus bersama dan memberi tugas baru kepada mereka iaitu menamatkan perang tersebut,” kata Obama.

Beliau bakal berdepan dengan calon Republikan, John McCain yang merupakan penyokong kuat perang Iraq, pada pilihan raya Presiden November ini yang sudah pasti banyak tertumpu kepada masa depan askar AS di Iraq. – Reuters

No comments:

Post a Comment