23 July 2008

Kita nak dengar ahli parlimen bukan bekas ahli parlimen

Anwar umum bekas wakil BN sertai PKR

PKR akan mengumumkan penyertaan beberapa bekas ahli parlimen BN bersama parti itu di ibu pejabatnya di Tropicana, Petaling Jaya hari ini.

Pengumuman itu dijadual dibuat oleh penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 3 petang ini.

Sementara itu, bekas ahli parlimen Kuantan, Datuk Fauzi Abdul Rahman yang menyertai parti itu hari ini berkata, ramai lagi pemimpin Umno Pahang akan menyertai parti itu dalam tempoh terdekat ini.

"Kami dapat meramalkan penyertaan pemimpin Umno secara beramai-ramai ke dalam PKR dan fenomena ini adalah berterusan.

"Sebenarnya tidak ada tempoh tertentu untuk mereka menyertai PKR kerana kami tidak menetapkan sebarang syarat kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Fauzi bersama dua lagi pemimpin Umno Pahang menyerahkan borang penyertaan ke dalam PKR kepada ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun, penyokong kuat Anwar itu enggan mendedahkan identiti dua pemimpin terbabit tetapi difahamkan bekas ahli jawatankuasa pusat MCA Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dijangka menyertai PKR.

"Rakyat termasuk ahli dan pemimpin Umno marah dengan cara kerajaan melayan Anwar yang sedang menghadapi tududan liwat sekarang.

"Jangan naik kerana keburukan orang lain kerana ini bukan budaya rakyat Malaysia, sebaliknya perlu menampilkan kewibawaan diri.

"Isu liwat itu akan menjadi senjata makan tuan, rakyat akan semakin benci kepada Umno dan masuk PKR," katanya lagi.

Sementara seorang pemimpin Umno di Pahang yang dihubungi hari ini berkata, dakwaan Fauzi bahawa ramai pemimpin Umno akan menyertai PKR sukar dipercayai.

Katanya, mungkin beberapa pemimpin veteran akan berbuat demikian tetapi ia tidak menjejaskan kekuatan Umno.

"Saya tidak dengar ada pemimpin utama negeri atau bahagian akan menyertai PKR dalam masa terdekat ini.

"Jadi dakwaan Fauzi itu mungkin hanya seronok didengar tetapi belum tentu kesahihannya," katanya yang enggan namanya disiarkan.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment