Anwar kemuka JAWI laporan Pusrawi, Saiful dipanggil
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan laporan perubatan yang dikeluarkan hospital Pusrawi yang mengatakan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak diliwat semasa memberi keterangan di Jabatan Agma Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini.
Beliau hadir ditemani isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada pukul 10.30 pagi bagi memberi keterangan berhubung laporan tuntutan qazaf (tuduhan palsu) yang dibuat terhadap Saiful sebelum ini.
Pagi semalam Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi, yang disebar meluas menerusi portal berita semalam, membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.
“Saya ada menyebut mengenai laporan perubatan (Dr. Mohd Osman) itu dan JAWI ambil maklum mengenainya,” katanya selepas memberi keterangan hampir dua jam setengah.
Hadir sama peguamnya Kamar Ainiah Kamarulzaman.
Semasa memberi keterangan, Anwar turut mengemukakan hujah oleh seorang ulama feqah terkemuka, Prof. Sheikh Taha Jabir al-Ulwani yang mengatakan qazaf bagi tuduhan liwat terpakai seperti tuduhan zina.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut memberitahu media kemungkinan JAWI akan memanggil Saiful bagi merekodkan keterangannya selepas ini.
Bagaimanapun beliau menyatakan kesanggupan untuk hadir sekali lagi bagi memberi keterangan tambahan jika diperlukan sepanjang siasatan dijalankan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan, JAWI akan merujuk kepada doktor berkenaan bagi memberikan keterangan lanjut.
Ditanya apakah soalan yang dikemukakan oleh JAWI kepadanya, Anwar berkata JAWI mengajukan soalan mengikut prosedur biasa.
“Mereka tanya saya mengapa saya anggap kes ini tiada motif. Mereka juga ingin tahu mengapa saya katakan saya difitnah serta apa bukti yang saya ada untuk kuatkan hujah,” katanya.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu bagaimanapun berpuas hati dengan proses memberi keterangan yang dijalankan oleh JAWI berbanding pihak polis.
Tambahnya lagi, proses yang dijalankan oleh JAWI adalah lebih professional dan beliau yakin dengannya.
Beliau turut diajukan soalan sama ada bimbang dengan hasil laporan perubatan terhadap Saiful yang dilakukan oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau berkata "tidak".
“Saya tidak bimbang mengenai laporan HKL jika ia dibuat dengan professional dan telus.
“Persoalannya adakah akan ada kemungkinan laporan itu akan dikoyak (dipalsukan).” katanya dengan sinis.
Beliau sekali lagi menegaskan agar siasatan yang dijalankan terhadapnya tidak bermotifkan politik sebaliknya perlu mengikut prosedur yang jelas berdasarkan undang-undang sedia ada.
Diminta mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar agar beliau menghentikan sebarang spekulasi sebaliknya memberi kerjasama penuh kepada polis, beliau berkata:
“Kerjasama apa lagi yang tidak saya berikan?.
“Cuba anda tanya dia (Syed Hamid) adakah dia sanggup untuk berbogel seperti yang saya alami. Adakah itu menunjukkan saya tidak memberi kerjasama," katanya.
"Saya tidak buat sebarang spekulasi sebaliknya kadang-kadang ada wartawan yang nakal megajukan soalan untuk dapatkan reaksi saya," jelasnya.
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment