18 July 2008

Jangan jadi calon anak derhaka

Penangan tomboi

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal hanya mampu meratap kesedihan apabila anak gadis kesayangannya menjadi mangsa pujuk rayu dan godaan seorang tomboi sebelum dilarikan dari rumahnya pada 30 Jun lalu.

Istikomah Hasan, 17, sempat memasak lauk daging masak merah dan gulai lemak cili api kegemaran ibunya sebelum hilang dari rumah di Kampung Pandan di sini.

Ibu mangsa, Masidah Rida’e, 49, berkata kehilangan Istikomah hanya disedari sebaik dia pulang dari Jabatan Pelajaran Selangor bagi menguruskan perpindahan sekolah anaknya.

Sebelum itu, katanya, dia yang baru berpindah ke Kampung Pandan, pergi ke Jabatan Pelajaran negeri bagi mengambil surat pertukaran sekolah, kira-kira jam 10 pagi.

“Sebelum keluar dari rumah, Istikomah berkelakuan seperti biasa, termasuk membantu saya memasak hidangan makan tengah hari. Saya bagaimanapun terpaksa meninggalkannya bersendirian di rumah untuk menguruskan pertukaran sekolahnya.


“Apabila pulang jam 2 petang, saya mendapati Istikomah tiada di rumah tanpa meninggalkan sebarang pesan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia berkata, peliknya masakan daging masak merah dan gulai lemak cili api sudah siap dihidangkan di meja manakala nasi yang ditanak langsung tidak disentuh.

“Saya kemudian bertanya kepada jiran dan mereka memberitahu ternampak Istikomah keluar dari rumah kira-kira jam 1 tengah hari.

“Anak saya hanya memakai seluar panjang coklat dan baju-T. Dia juga tidak memakai tudung seperti kebiasaan ketika keluar dari rumah,” katanya.

Anaknya itu yang masih menuntut dalam tingkatan lima tidak membawa telefon bimbit, malah keluar sehelai sepinggang.

Masidah menganggap kehilangan Istikomah agak misteri berikutan dia tidak pernah menimbulkan masalah atau ingkar suruhan, jauh sekali keluar rumah tanpa pengetahuannya.

“Kehilangannya benar-benar merunsingkan saya, apatah lagi dia masih bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi,” katanya.

Berikutan itu, Masidah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang pada 6 Julai lalu.

Kata suri rumah itu, Istikomah ada menghubungi melalui telefon bimbitnya tengah malam Ahad lalu.

“Ketika itu, dia hanya menangis sambil menyebut dia selamat. Namun, saya dapat mendengar dengan jelas suara seorang gadis lain menyuruhnya memujuk saya menarik balik laporan polis.

“Malah, gadis yang saya disyaki tomboi itu turut menjerit menyuruh Istikomah memberitahu kononnya dia tidak mahu lagi bersekolah dan ingin bekerja,” katanya.

Dia mendakwa Istikomah dalam ketakutan dan enggan akur permintaan suara itu.

“Selepas diamati dengan teliti, saya akhirnya mengenal pasti suara terbabit iaitu rakan baiknya yang dikenali sebagai Ayu.

“Namun, Ayu enggan bercakap dengan saya, sebaliknya menamatkan perbualan sejurus saya memujuk Istikomah supaya pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, Ayu yang dikenali sebagai tomboi pernah ke rumahnya untuk berjumpa Istikomah.

“Dia berambut pendek dan bertubuh kecil. Setahu saya dia berusia kira-kira 25 tahun dan pernah bekerja di sebuah hotel. Saya langsung tidak sangka dia tergamak memujuk anak saya yang masih mentah lari rumah.

“Ayu sepatutnya sedar bahawa Istikomah masih tanggungjawab saya sebagai ibu selain perlu menghabiskan pembelajarannya,” katanya yang menyerahkan identiti Ayu kepada polis.

Dia merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Istikomah supaya segera menghubungi balai polis berhampiran.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment