27 July 2008

Hamas tahan anggota Fatah

GAZA 27 Julai – Pihak berkuasa Hamas semalam menyerbu pejabat agensi berita yang dikendalikan oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan menahan berpuluh-puluh anggota kumpulan Fatah dalam tindakan paling keras pernah mereka ambil terhadap kumpulan itu, sejak menguasai bandar ini.

Sumber Fatah berkata, seramai 162 aktivis kumpulan itu termasuk dua pegawai daripada puak yang bertelagah, telah ditahan dalam gerakan tersebut.

Kata sumber itu, gerakan tersebut dilakukan sebagai tindak balas ke atas satu letupan bom yang mengorbankan lima anggota sayap bersenjata Hamas dan seorang kanak-kanak perempuan di Genting Gaza, kelmarin.

Sumber itu berkata, pihak berkuasa Hamas turut merampas komputer dan fail dari pejabat agensi berita WAFA, selain menyerbu 40 lagi pejabat Fatah.

Menurutnya, dua pegawai yang ditahan itu ialah pemimpin politik Fatah di Gaza, Ahmed Naser dan bekas Mejar Jeneral Abu Al’Abed Khattab.

Hamas menuduh “anggota parti pelarian” - terma yang digunakan untuk menggambarkan gerakan Fatah, bertanggungjawab ke atas letupan bom kelmarin. - Reuters

No comments:

Post a Comment