30 July 2008

BPR siasat projek Taman Tamadun Islam, Piala Monsun

KUALA TERENGGANU 29 Julai — Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menyiasat dakwaan berlakunya penyelewengan dalam pelaksanaan projek Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan kejohanan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyung jika terdapat asas dan bukti yang kukuh berhubung perkara itu.

Pengarah BPR negeri Sharuddin Sapian berkata, BPR sentiasa mengamalkan dasar telus dan responsif terhadap perkara yang dilaporkan dan tidak pernah mengamalkan dasar pilih kasih dalam menjalankan siasatan.

“Kita akan teliti dahulu (laporan)...kalau ada asas yang kukuh berhubung perkara yang berkaitan, kita akan siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Dewan Pemuda PAS serta Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu hari ini yang meminta BPR menyiasat mengenai projek TTI dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun.

Laporan itu dilakukan oleh Ketua Dewan Pemuda Azman Shapawi Abdul Rani dan Ketua AMK Fariz Musa di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Sebelum itu, kira-kira pukul 11 pagi, Azman Shapawi hadir bersama dua lagi anggota parti itu membuat laporan meminta BPR menyiasat kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said serta dua projek berkenaan yang disiarkan dalam akhbar.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, beliau berharap BPR menyegerakan tindakan untuk menyiasat perkara tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam dan harta rakyat.

Sementara itu Fariz bersama empat lagi anggota PKR pula membuat laporan kepada pejabat BPR meminta siasatan segera dilakukan terhadap kedua-dua projek terbabit selain kes penyelenggaraan melampau Proton Perdana V6, kehilangan wang royalti petroleum sejumlah RM3 bilion dan kes rasuah projek Bandar Baru Kijal di Kemaman.

Dipercayai seorang ahli politik di negeri ini terbabit dengan dakwaan penyelewengan itu dan meminta BPR bertindak dengan jujur, telus, berintergriti serta profesional untuk mengambil tindakan tanpa mengira pangkat dan darjat.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment