BPR akan siasat aduan polis Anwar
Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan segera menyiasat laporan polis yang dibuat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan ketua polis negara dan peguam negara memalsukan bukti kes mata lebamnya 10 tahun lalu.
Ketua pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan hari ini berkata, siasatan itu akan diketuai oleh pengarah siasatannya Datuk Mohd Shukri Abdull.
"Keterangan mengenai laporan itu telah diserahkan kepada kami dan untuk memastikan ia tidak berat sebelah, siasatan akan dilakukan oleh BPR.
"Kami boleh siasat, tak ada masalah," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Ahmad Said menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan yang dibuat oleh Anwar semalam terhadap Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail di ibu pejabat polis kontinjen Selangor di Shah Alam, demikian menurut laporan Bernama.
Anwar mendakwa, Musa dan Abdul Gani menyembunyikan fakta dan memalsukan maklumat dalam kes membabitkan serangan fizikal terhadapnya oleh Tan Sri Rahim Noor, waktu itu ketua polis negara, pada 20 September 1998.
Abdul Gani pada ketika itu timbalan pendakwaraya paling kanan, manakala Musa pula ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.
Menurut Ahmad Said, proses siasatan akan dilakukan dengan memanggil semua pihak terlibat untuk merekodkan keterangan masing-masing.
"Kita akan panggil siapa sahaja yang terlibat, termasuk Anwar sendiri," katanya.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment