Tiada bukti Saiful diliwat: PKR tunggu reaksi polis
KUALA LUMPUR, 28 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunggu reaksi dari kerajaan khasnya polis berikutan laporan perubatan mengesahkan tidak ada sebarang kejadian liwat berlaku ke atas Mohd. Saiful Bukhari bin Azlan ketika dia membuat laporan polis 28 Jun lalu.
Pengarah Strategik PKR, Saifudin Nasution Ismail berkata, laporan dari Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) mengesahkan tidak ada sebarang kejadian sodomi berlaku ke atas Saiful.
"Kami juga mendapat pengesahan secara mulut dari Hospital kerajaan yang membuat pemeriksaan kedua selepas Pusrawi, bahawa pemeriksaan mereka juga mendapat hasil yang sama iaitu tidak ada tanda-tanda sodomi berlaku ke atas Saiful," kata Saifudin kepada Siasah.
Menurut laporan pemeriksaan itu, Pusrawi mengesahkan, tidak ada tanda-tanda kejadian sodomi berlaku ke atas Saiful iaitu "tiada pendarahan aktif, tiada parut, tiada luka dan tiada nanah." selepas pemeriksaan dibuat ke atas bahagian sulit Saiful.
Pemeriksaan itu dilakukan oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid terhadap Saiful pada 28 Jun sebelum Saiful membuat laporan polis. (lihat laporan bertulis di bawah)
Untuk mengesahkan pemeriksaan itu, Saiful diminta membuat pemeriksaan yang sama di hospital kerajaan.
Ekoran itu, Saiful membuat pemeriksaan di hospital kerajaan dan membuat laporan polis sejurus selepas itu.
Sehingga kini, pihak hospital kerajaan berkenaan tidak memberikan sebarang laporan bertulis kepada Anwar.
"Kami kini menunggu apa reaksi dari kerajaan berkaitan dengan laporan Pusrawi ini," kata Saifudin yang juga anggota Parlimen Machang kepada Siasah.
Semalam, Malysia Today melaporkan, Dr Mohamad Osman pernah ditahan tiga hari oleh polis selepas itu dan kini sedang bersembunyi bersama keluarganya.
siasahdaily.blogspot.com
No comments:
Post a Comment