03 July 2008

Aneh, mengapa Saiful bertemu Najib untuk mengadu kes liwat?

Saiful Jumpa Saya Mengadu Diliwat Anwar, Kata Najib

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan ada menemuinya kerana mahu mengadu hal dirinya telah diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pertemuan itu yang pertama kali antara mereka berdua, berlangsung di kediamannya beberapa hari sebelum Mohd Saiful, yang ketika itu dilihat berada dalam keadaan amat trauma, membuat laporan polis terhadap Anwar berhubung isu liwat itu.

"Saya menerima kedatangannya atas sifat saya sebagai seorang pemimpin dan dia sebagai rakyat biasa yang ingin mengadu kepada saya...saya tidak pernah mengenali beliau sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Mohd Saiful, 23, membuat laporan di Balai Polis Travers di sini pada 28 Jun lepas, mendakwa dirinya diliwat Anwar pada 26 Jun di sebuah kondominium di Bukit Damansara.

Ketika ditanya mengapa pembantu Anwar itu menemui beliau untuk mengadu hal, Najib berkata beliau tidak tahu, tetapi menganggap pemuda itu memerlukan bantuannya, berikutan Mohd Saiful mengenali seorang pegawainya.

Najib berkata Mohd Saiful juga pernah datang ke pejabatnya untuk bertemu seorang pegawainya bagi menguruskan soal biasiswa yang dimohon, tetapi beliau tidak pernah menemui pemuda itu pada ketika itu.

Timbalan Perdana Menteri juga menolak sebarang dakwaan berlaku konspirasi terhadap Anwar dan beliau adalah perancangnya.

Ditanya sama ada beliau percaya apa yang diberitahu oleh Mohd Saiful itu berasas atau sebaliknya, Najib berkata, pada awalnya beliau tidak berapa yakin sama ada cerita yang disampaikan oleh Mohd Saiful itu benar atau tidak.

"Saya tidak berani nak cakap...saya nampak dia genuine (ikhlas) sebab dia ketakutan. Tangan dia seram sejuk.

Tetapi saya tidak berani buat kesimpulan. Saya nasihat pada dia supaya buat keputusan sendiri," katanya sambil menolak andaian bahawa beliau telah menasihatkan Mohd Saiful untuk membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Bagaimanapun katanya semasa perjumpaan itu, Mohd Saiful telah menceritakan segala-galanya yang berlaku kepadanya.

Ditanya kandungan penjelasan oleh Mohd Saiful, Najib sambil tersenyum menjawab,:"Oh...banyak...cerita-cerita tu banyak....satu hari nanti mungkin saya boleh cerita tetapi lepas kes mahkamah lah".

Najib juga berkata beliau bersedia untuk memberi keterangan mengenai kes itu sekiranya diperlukan, ekoran pendedahan beliau itu.

"Ya..saya bersedia...apa yang nak tanya saya...saya cuma dengar (penjelasan) dia sahaja. Yang mustahak sekali adalah (keterangan) daripada dia (Mohd Saiful), bukan daripada saya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment