Mufti Perlis khuatir pengganti Abdullah lebih buruk
Cadangan usul undi tidak percaya parti komponen BN, Parti Maju Sabah (SAPP) terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat, esok, turut menarik perhatian Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.
Dalam temubual dengan mSTAR Online, 20 Jun lalu, Asri menyarankan mereka yang tidak berpuas hati dengan Abdullah agar menyenaraikan masalah yang wujud dan memberi ruang kepada Presiden Umno itu untuk mengatasinya.
"Jangan sibuk timbulkan isu tidak percaya kepada kepemimpinannya. Bertanya dulu siapa calon yang hendak dilantik dan bukan soalkan siapa yang hendak ditumbangkan. Takut nanti penggantinya lebih buruk.
"Adakah penggantinya lebih baik darinya? Kalau tidak nanti, takut keluar mulut harimau, masuk mulut buaya," kenyataan beliau kepada mStar Online dipetik.
Asri yang terkenal dengan kolum mingguannya di sebuah akhbar tempatan mengesyorkan agar disenaraikan 20 dalil kenapa Pak Lah perlu berhenti dan 20 dalil bagi membuktikan penggantinya lebih baik dan bukan sekadar menukar orang sahaja.
Menurutnya, terpulang pada kejujuran Abdullah sendiri untuk mengatasi masalah yang telah disenaraikan ini.
"Jika soal-soal yang membabitkan keluarga, tengok sejauh mana ketulusan beliau menangani masalah ini. Atau adakah ideanya yang tidak cukup bernas supaya kita boleh selesaikan perkara ini dengan lebih objektif kerana situasi ini sudah menjadi sentimen umum," jelasnya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung pengganti Abdullah.
"Mungkin nanti penggantinya juga ada masalah yang sama atau lebih buruk," katanya.
Menurut beliau, Islam mempunyai pendekatan sendiri untuk mengatasi masalah ini seperti mengadakan majlis syura dengan mereka yang berkenaan dan bukannya mengikut cakap para penyokong dan pengampu.
"Krisis politik sekarang perlu dilihat dengan kaca mata yang lebih objektif... Kalau hendak berbalahpun, berbalahlah tapi kena lihat kesan dari perbalahan itu yang meninggalkan kesan besar pada rakyat.
"Saya sendiri setuju pasca PRU12 telah membuktikan beberapa perkara seperti ia berjaya mematahkan keegoan, keangkuhan dan kesombongan sesetengah ahli politik BN yang selama ini ingat mereka tidak boleh tumbang dan jatuh.
"Tapi episod itu sudah berlalu dan PRU telah membayar dan menunaikan hasrat rakyat. Sudah cukup pengajaran itu. Orang yang hendak dihukum telahpun dihukum. Jangan bicara lagi pasal hukuman, lihat kesan pada hukuman. Umno pun telah dihukum, yang tinggalpun nyawa-nyawa ikan...," kata Asri.
Asri juga mengingatkan pemuka politik agar tidak ghairah menumbangkan satu keegoan dengan satu keegoaan yang baru.
"Pihak alternatif hendaklah memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan dan kesombongan BN.
"Kini masanya untuk uruskan negara dengan baik bukan untuk berbalah," kata Asri.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment