30 June 2008

Taliban semakin berani menyerang

Sasar tawan selatan dan timur Afghanistan

WASHINGTON: Pejuang Taliban akan cuba menawan kawasan baru selain meneruskan perjuangan di kawasan kubu kuat mereka di selatan dan timur Afghanistan, dedah Pentagon dalam laporan terbaru, kelmarin.

"Pejuang Taliban akan mencabar penguasaan kerajaan Afghanistan di kawasan pedalaman terutama di selatan dan timur. Mereka juga mungkin cuba meningkatkan penguasaan mereka di barat dan utara," lapor Pentagon dalam laporan pertama 'Laporan Kemajuan Keselamatan dan Kestabilan di Afghanistan' kepada Kongres.

Laporan itu merekodkan perkembangan hingga April lalu, turut mendakwa tentera antarabangsa berjaya 'mencetuskan rintangan terhadap pemberontak di Afghanistan termasuk menyebabkan kehilangan pemimpin dan tempat selamat mereka di negara itu'.

"Bagaimanapun, semua rintangan diwujudkan, pejuang Taliban masih menguasai atau memperluaskan skop serangan pada 2008," katanya.

Taliban yang meneruskan perjuangan menentang pencerobohan Amerika Syarikat terus meningkatkan serangan mereka tahun lalu sehingga menyebabkan 6,500 orang terbunuh.

Amerika menyerang rejim Taliban selepas berlakunya tragedi 11 September 2001 kerana menuduh mereka menyokong pergerakan al-Qaeda.

Walaupun dipenuhi kira-kira 70,000 askar asing, keganasan di Afghanistan terus meningkat sejak dua tahun lalu.

Di ISLAMABAD, tentera Pakistan melancarkan serangan mortar besar-besaran ke atas pejuang Taliban di Khyber berikutan ancaman terhadap bandar Peshawar di barat laut negara itu.

Serangan ini, adalah tindakan ketenteraan besar pertama diambil kerajaan baru Pakistan terhadap pejuang Taliban di wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan itu.

Pihak berkuasa keselamatan Pakistan sebelum ini berkata, ia lebih berminat menyelesaikan pertelagahan dengan pejuang melalui rundingan, tetapi mengambil keputusan bertindak berikutan ancaman kumpulan itu ke atas Bandar Raya Peshawar yang semakin meningkat,

"Operasi berjalan lancar setakat ini tanpa sebarang tentangan dan belum ada kemalangan jiwa dilaporkan," kata Ketua Polis Wilayah Sempadan Barat Laut (NWFP), Malik Naveed Khan.

Sementara itu, seorang pegawai kanan keselamatan berkata, tumpuan kini diberikan terhadap bandar Bara di sempadan Afghanistan.

"Perintah berkurung dikuatkuasakan di Bara, manakala kedai di arah tutup dan penduduk tempatan diminta agar tidak keluar rumah. Semua jalan menuju ke bandar ini juga sudah ditutup," kata beliau yang enggan mendedahkan namanya.

Pegawai berkenaan berkata, operasi di Bara akan dijalankan dalam tempoh 48 jam, tetapi kalangan tentera yang ditempatkan di kawasan itu berkata, ia akan dilakukan pada bila-bila masa. Akhbar tempatan pula melaporkan semua hospital di Peshawar sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Katanya tentera membuat rancangan di luar jangkaan untuk melindungi ibu negeri wilayah itu daripada pejuang yang mungkin menyerang Peshawar. – AP/AFP/Reuters

No comments:

Post a Comment