30 June 2008

PKR dijangka berjaya menyelesaikan isu ini dalam tempoh yang singkat

Dakwaan nyawa Anwar terancam tidak masuk akal – Hisham

Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa keselamatannya terancam sehingga terpaksa meminta perlindungan daripada Kedutaan Turki di sini dianggap sebagai ‘‘tidak masuk akal sama sekali’’.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin menegaskan, tindakan itu diambil semata-mata kerana Anwar mahu mengalih tumpuan, sama seperti yang dilakukannya ketika beliau dituduh satu masa dahulu.

‘‘Anwar (pada masa itu) pernah membuat dakwaan kononnya beliau cuba dibunuh dengan racun arsenik, memerlukan pembedahan tulang belakang dan menghadapi masalah tengkuk,’’ katanya di sini hari ini.

Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman blognya berkata, beliau dibawa ke kedutaan tersebut awal pagi ini kerana bimbang keselamatan dirinya terancam.

Anwar berkata, beliau berada dalam keadaan selamat kini dan mengucapkan terima kasih kepada kedutaan itu yang memberi perlindungan kepadanya.

Semalam satu laporan polis terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibuat pembantunya yang berusia 23 tahun di Balai Polis Travers pada pukul 5.45 petang.

Lelaki itu mendakwa diliwat Anwar pada 26 Jun lepas di sebuah tempat di ibu negara.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali pada sidang akhbarnya hari ini berkata, Anwar dibawa ke kedutaan berkenaan kira-kira pukul 6 pagi ini selepas mesyuarat tergempar di antara Majlis Tertinggi dan Biro PKR di Hotel Quality, di sini.

Katanya, langkah itu diambil berikutan kebimbangan terhadap keselamatan Anwar ekoran terdapat ugutan bunuh terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut Azmin lagi, setakat ini, hanya keluarga terdekat termasuk isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anaknya dibenarkan untuk bertemu dengan Anwar buat masa ini.

‘‘Melalui perbincangan yang dibuat lewat malam tadi hingga awal pagi ini, kita telah menghubungi beberapa kedutaan asing untuk meminta perlindungan untuk Anwar.

‘‘Namun, Kedutaan Turki merupakan kedutaan pertama yang memberi persetujuan mengenai perkara ini berbanding kedutaan asing lain yang kita hubungi.

‘‘Kita sudah berurusan dengan kedutaan negara berkenaan dan kita telah pindahkan beliau pada awal pagi ini selepas subuh dari sini (Hotel Quality).

‘‘Bagaimanapun, Anwar akan berada di Kedutaan Turki sehingga tempoh yang akan diputuskan nanti berdasarkan perbincangan kita dengan kedutaan itu,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azmin bagaimanapun menafikan Anwar cuba mendapatkan suaka politik berikutan tindakan meminta perlindungan dari kedutaan negara berkenaan, sebaliknya ia dilakukan hanya untuk menjaga keselamatan dirinya.

Malah, Anwar juga turut bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh PKR itu.

‘‘Kita berpendapat, dalam keadaan mendesak ini kita perlu membuat keputusan sepatutnya dengan segera,’’ katanya.

Sementara itu, Azmin ketika ditanya mengenai mesyuarat yang didakwa dihadiri Anwar dan lelaki yang membuat laporan polis semalam, berkata, beliau enggan mendedahkan butiran mesyuarat berkenaan.

‘‘Saya tidak akan mendedahkan butiran mesyuarat itu termasuklah alibi Anwar,’’ ujarnya.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment