09 June 2008

Tak yakin kerajaan BN mampu berdepan dengan Singapura

Jangan biarkan "Singapura dapat tanah"

Kisah 60 orang delegasi diketuai ahli parlimen Pontian, Ahmad Maslan berkunjung ke Pulau Pisang yang terletak kira-kira 8km dari pantai Pontian mendapat liputan hampir semua akhbar tempatan hari ini. Ahmad Maslan mengumumkan bahawa kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Negeri telah bersetuju membangunkan pulau tersebut bagi tujuan "eco-tourism".

Tidak seperti Pulau Batu Putih, pulau seluas 178.4 hektar ini terletak dalam wilayah Malaysia. Tetapi yang anehnya atas faktor sejarah di puncak pulau ini terbina sebuah rumah api, setinggi 53meter iaitu 1,000m atas paras laut. Rumah api ini sejak tahun 1900, melalui perjanjian antara Almarhum Sultan Ibrahim Johor dan penjajah British, diuruskan oleh Singapura kini melalui Lembaga Pelabuhan dan Maritim Singapura atau Maritime and Port Authority of Singapore dengan beberapa orang kakitangan tetap warga Singapura.

Berikutan peristiwa tergadainya Pulau Batu Putih ketangan Singapura, saya kira sudah sampai masanya Malaysia mengambil-alih sepenuhnya rumah api berkenaan. Singapura sudah punya rumah api di Pulau Batu Putih yang kini milik mereka, apa perlunya mereka berada di atas bumi kita lagi?

Mungkin perkara ini melibatkan banyak urusan pentadbiran, "paper work" dan seumpamanya, apa pun demi kewibawaan, kedaulatan dan maruah negara, kita perlu segera mengusahakannya. Kalau Tentera Udara Australia (RAF) dahulu yang berpengkalan di Butterworth boleh kita halau pulang, dan begitu juga Carcosa yang diserahkan kepada Britain kita ambil kembali, saya tidak nampak apa masalahnya kalau kita mahu halau Singapura keluar dan ambil alih rumah api berkenaan.

Jangan sampai kata orang, "Belanda dapat tanah", hari ini Pulau Batu Putih esok habis dengan Pulau Pisang dan yang lain yang berdekatan semua dituntutnya. Hubaya-hubaya, "Singapura dapat tanah"!

www.n32.blogspot.com

No comments:

Post a Comment