Badan Pencegah Rasuah (BPR) merampas beberapa dokumen dan menyiasat seorang pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam hubungan dengan dakwaan salah guna kuasa pegawai kanan di pejabat menteri besar Selangor.
Siasatan tersebut selepas satu laporan dibuat oleh empat wakil PKR minggu lepas kepada badan itu dan polis.
Pegawai kanan itu didakwa menyalahgunakan kuasa berhubung pengagihan kontrak pembersihan dan kutipan sampah di Petaling Jaya.
Malaysiakini difahamkan, BPR mula menyiasat pegawai MBPJ jam 4 petang tadi.
BPR difahamkan mengambil dokumen-dokumen tersebut daripada pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Wakil-wakil PKR bahagian-bahagian Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Shah Alam dilaporkan membuat aduan itu dengan harapan "siasatan segera dilakukan kerana perbuatan tersebut menjejaskan integriti pentadbiran Pakatan Rakyat."
Selain mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli parti itu, menurut kenyataan pejabat itu, menteri besar juga berkata kerajaan negeri mempunyai prosedur sendiri untuk memanggil saksi-saksi untuk memberikan keterangan.
"Jika terdapat bukti-bukti kukuh, pihak kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan," katanya dalam kenyataan itu.
Akhbar itu menyebut, jurucakap kumpulan ahli PKR itu Remy Iskandar berkata mereka mempunyai "semua dokumen yang boleh menjadi bukti" aduan mereka.
Beliau bersama tiga yang lain (foto kiri) ke pejabat akhbar itu semalam untuk mendedahkan aduan tersebut.
Beliau juga dilaporkan berkata pegawai kanan itu dipercayai telah meluluskan kontrak dan tender kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan menteri besar.
Remy juga berkata mereka meragui kelulusan tersebut kerana ia menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa nombor rujukan yang jelas dan pegawai tersebut meminta syarikat-syarikat itu diberikan keutamaan dalam pembahagian kontrak itu.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment