25 June 2008

Selepas pencuri mengambil duit kita, kemudian pulang semula duit itu, tidaklah dianggap dia pemurah wahai Ezam

Cerminan 'pemimpin gagah, berani'

Membenarkan akhbar PAS diterbitkan lebih kerap mencermikan sikap "pemimpin gagah dan berani" yang sanggup berkata benar dan mendengar kebenaran.

"Satu lagi reformasi penting kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang perlu disokong kerana media yang bebas merupakan syarat utama perubahan sesebuah negara," kata Mohamad Ezam Mohd Nor, bekas pemimpin Angkatan Muda PKR yang mohon menyertai Umno bulan lepas.

"Hanya pemimpin yang gagah dan berani sahaja yang akan sanggup memperkatakan yang benar dan mendengar kebenaran."

Mohamad Ezam mengalu-alukan dan mengucap tahniah atas "keputusan berani" Kementerian Dalam Negeri.

Beliau mengulas sikap terbaru KDN membenarkan penerbitan semula Harakah dua kali seminggu seperti sebelum ditarik balik sejak awal 2000.

Akhbar pembangkang berpengaruh itu kini diterbitkan dua kali sebulan - keputusan kontroversi KDN kira-kira tiga bulan selepas pilihanraya umum 1999 yang menyaksikan kebangkitkan PAS.

Selain akhbar PAS, organ PKR Suara Keadilan yang tidak pernah mendapat permit penerbitan juga diberikan lesen, tidak lama selepas pilihanraya umum 8 Mac yang menyaksikan kemenangan besar dua parti itu.

Mohamad Ezam, yang pernah dipenjara bawah kesalahan Akta Rahsia Rasmi (OSA), berkata tanpa kritikan media bebas, "besar kemungkinan kerajaan dan anggotanya akan tersilap jalan."

"Kebebasan media massa bukan sahaja menjadi satu daripada rukun demokrasi bahkan kebebasan media merupakan salah satu aspek yang penting untuk mempertahankan demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.

Di Indonesia, tambahnya, kebebasan media terbukti menjadi senjata ampuh untuk memerangi rasuah sejak penubuhan kerajaan BJ Habibie pada 1998 - susulan pengunduran Soeharto dalam peristiwa reformasi di republik tersebut.

"Semoga kebebasan yang diterima Harakah hari ini menjadi satu titik penting kepada usaha-usaha lain yang bertujuan memperkasakan media di negara ini," katanya.

Beliau juga berharap media tidak "menyalahertikan isyarat keterbukaan kerajaan dan kepimpinannya" dengan menyiarkan berita sensasi, melaga-lagakan pemimpin dan menimbulkan cerita tidak benar.

Ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman mengesahkan PAS telah menerima surat kelulusan tersebut daripada KDN semalam.

Sebelum pilihanraya umum 8 Mac, Harakah diedarkan 140,000 naskhah.

"Selepas pilihanraya umum lalu, jumlah edarannya meningkat kepada 250,000 naskhah," katanya.

Mengenai langkah akhbar itu seterusnya, Ahmad Lutfi berkata, beliau akan merujuk pengurusan Harakah mengenai soal editorial dan beberapa perkara yang perlu diubahsuai, terutama mengenai kesediaan kilang cetak dan pengedar akhbar.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment