Pegawai Khalid digantung 2 bulan
Pegawai kanan menteri besar Selangor, yang disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengagihan kontrak pembuangan sampah di Petaling Jaya, digantung tugasnya selama dua bulan.
Menurut seorang pegawai Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pegawai kanan itu digantung mulai hari ini.
"Surat rasmi (penggantungan) dikeluarkan hari ini.
"Semalam Tan Sri telah mengirim SMS memberitahunya supaya beliau tidak terkejut apabila menerima surat," katanya kepada Malaysiakini.
Dihubungi hari ini, pegawai tugas-tugas khas Khalid, Yahya Shaari (foto kiri), mengesahkan penggantungannya.
Pada 10 Jun lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) memanggil pegawai kanan berkenaan selama empat jam berhubung siasatan kes kelulusan kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah yang melibatkan kawasan Petaling Jaya.
"Kita sudah ambil keterangan pegawai terbabit hari ini dan hasil siasatan akan diketahui dalam jangka masa terdekat ini," kata pengarah BPR Selangor, Ja'afar Mahad tidak lama selepas laporan tersebut dibuat.
Pada 5 Jun, sekumpulan empat orang (foto bawah) yang mendakwa ahli PKR dilaporkan telah membuat aduan kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa keizinan.
Mereka mendakwa mempunyai dokumen yang membuktikan pegawai kanan terbabit terlibat dalam meluluskan kontrak dan tender itu kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan Abdul Khalid.
Sehari sebelumnya mereka, yang diketuai oleh Remy Iskandar, telah membuat aduan polis.
Remy dilaporkan berkata mereka meragui kelulusan tersebut kerana ia menggunakan kepala surat tanpa nombor rujukan yang jelas dan pegawai tersebut meminta syarikat-syarikat itu diberikan keutamaan dalam pembahagian kontrak itu.
"Apa yang berlaku seolah-olah menafikan pendirian menteri besar yang sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa setiap pemberian kontrak atau tender akan dilakukan secara terbuka dan menolak usaha pengagihannya menggunakan pendekatan rundingan," beliau dipetik sebagai sebagai berkata.
"Kami tampil untuk untuk membuktikan PKR telus menolak sebarang usaha salah guna kuasa dan cubaan menafikan kepercayaan rakyat terhadap PKR."
Selangor pula berhasrat menjalankan siasatan sendiri kerana bimbang BPR lambat dan boleh mencemarkan imejnya.
Kerajaan negeri menyeru empat pengadu itu agar hadir di depan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggung- jawaban dan Ketelusan yang diketuai speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chan Kim bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment