21 June 2008

Pujuk guna BPR?

Orang PM dipercayai sedang pujuk SAPP kembali ke pangkuan BN

Pengerusi BN, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dipercayai sedang mengatur strategi bagi memujuk Pengerusi Parti Maju sabah (SAPP), Dato' Yong Teck Lee supaya kembali ke pangkuan BN.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa Abdullah yang juga merupakan Presiden Umno itu sedang menghantar orang-orang tertentu bagi menjalankan proses pemujukan ke atas ahli-ahli parlimen SAPP.

"Abdullah akan menggunakan segala kuasa yang dimilikinya untuk mengembalikan kepercayaan SAPP serta parti-parti komponen BN yang lain kepada Umno seterusnya mengekalkan sokongan dan pengaruhnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Walau bagaimanapun, Mohamad sabu tidak menolak kemungkinan terdapat di kalangan ahli parlimen SAPP yang beralih arah.

"Bahkan terdapat juga kemungkinan wakil rakyat yang berjaya dipujuk," ujarnya.

Mengulas mengenai usul undi tidak percaya yang digembar-gemburkan oleh SAPP untuk dikemukakan pada sidang parlimen bermula 23 Jun ini, beliau kurang pasti akan keberkesanannya.

"Walaupun Anwar Ibrahim ada menyatakan beliau mempunyai cukup sokongan untuk menumbangkan kerajaan BN, saya tidak dapat memastikan mengenai lompat parti ini kerana saya tidak membuat tinjauan," katanya lagi.

Sungguhpun begitu, beliau menyerahkan hal tersebut kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk menguruskannya.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Dato' Yong Teck Lee semalam bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua anggota parlimennya Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Yong tidak menyebut tentang kemungkinan partinya keluar dari Barisan Nasional (BN) dan siapa yang akan mengemuka undi tidak percaya itu.

www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment