Personaliti TV3, Norazlina Redzuan, 36, cedera akibat terjatuh dan diseret sejurus beg tangan miliknya diragut dua penjenayah bermotosikal ketika berjalan keluar dari sebuah kedai di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Jumaat lalu, penjenayah disyaki menunggu mangsa yang juga bekas pengacara Majalah 3, keluar dari kedai terbabit.
Kejadian itu menyebabkan Norazlina trauma, malah tidak dapat melupakan insiden yang pertama kali dialaminya itu.
Ketika menceritakan peristiwa hitam itu, selebriti yang mesra dengan panggilan Alin, berkata kejadian berlaku ketika dia dan ibunya, Datin Maznah Ahmad berjalan menuju ke kenderaannya di bahu jalan.
Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka menjadi mangsa ragut ketika berjalan keluar dari kedai itu.
“Dua lelaki bermotosikal tiba-tiba menghampiri dari belakang sebelum seorang daripada mereka menarik beg tangan dipegang saya.
“Apa yang saya pasti penjenayah mulanya mensasarkan ibu, namun berikutan dia berjalan agak lambat mereka beralih kepada saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, malam tadi.
Alin berkata, dia sempat mendengar ibunya menjerit sebelum beg tangannya direntap dengan kuat oleh seorang daripada penjenayah terbabit.
“Saya benar-benar tergamam dan terkejut. Tindakan peragut itu menyebabkan saya hilang pertimbangan lalu terjatuh ke atas jalan dan terseret.
“Saya akhirnya terpaksa membiarkan penjenayah merampas beg tangan sebelum mereka memecut melarikan diri. Saya membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju berhubung kejadian itu,” katanya.
Sebaik tiba di balai polis, mangsa menghubungi pihak bank bagi memastikan kad kredit miliknya tidak disalahguna penjenayah.
“Saya mendapatkan rawatan di klinik berhampiran berikutan luka di kedua-dua kaki. Kejadian itu benar-benar membuat saya memahami perasaan mangsa ragut sebelum ini.
“Malah, sehingga kini saya masih trauma, apatah lagi terdengar bunyi motosikal,” katanya yang akan memulakan tugas hari ini selepas mengambil cuti singkat berikutan kejadian berkenaan.
Katanya, dia kehilangan sejumlah wang, telefon bimbit, kamera, kad kredit dan kad pengenalan yang disimpan dalam beg berkenaan.
Bagaimanapun, apa yang paling menyukarkannya ialah kehilangan telefon bimbit yang menyimpan banyak nombor telefon kenalan dan rakan setugas.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana ibu tidak menjadi mangsa dalam kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, sumber polis berkata pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengesan penjenayah terbabit berdasarkan beberapa kes sama pernah dilaporkan di kawasan berkenaan sebelum ini.
“Ada kemungkinan penjenayah itu antara suspek yang diburu polis kerana sering terbabit dalam kes samun dan rompakan pelajar kolej sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
kejadian membabitkan kakitangan syarikat televisyen pernah dilaporkan Oktober lalu apabila seorang penolong penerbit stesen televisyen 8TV diragut seorang lelaki.
Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, penjenayah yang menaiki Proton Perdana berwarna perak itu meragut mangsa berusia 29 tahun berhampiran perhentian bas di sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju.
Mangsa sedang berjalan kaki dari perhentian bas untuk pulang ke rumahnya di Jalan Wangsa Perdana 3, Wangsa Maju.
Kejadian ragut terbabit menyebabkan mangsa kehilangan lesen memandu, kad juruwang automatik (ATM), pas kerja dan wang tunai RM260.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment