Drebar teksi ditinggal bogel
Seorang pemandu teksi terpaksa mengharungi detik mencemaskan apabila teksi dipandunya disamun lima lelaki dipercayai warga India berhampiran Pasar Borong Selayang di sini, kelmarin.
Mangsa, Nordin Mohd Nor, 56, yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun memandu teksi terkejut dengan kejadian yang menimpa dirinya.
“Kira-kira jam 9.30 malam, saya didatangi dua lelaki berhampiran Pasar Borong Selayang lalu menaiki teksi sebelum saya diminta menuju ke sebuah lokasi di Selayang Baru.
“Tanpa memikirkan kejadian buruk mungkin berlaku, saya terus memandu ke lokasi diminta,” katanya.
Tambahnya, sejurus tiba di tempat kejadian, suspek menjerut lehernya dari belakang dengan menggunakan objek tajam, malah mangsa turut mendapati tiga lagi rakan mangsa sudah menunggu.
Dalam keadaan gelap, mangsa sempat melihat ahli kumpulan penyamun itu menghunus pisau sebelum memintanya beralih ke tempat duduk belakang.
Seorang rakan perompak terbabit memandu teksi menuju sebuah lokasi berhampiran Taman Setia, Rawang.
“Sebaik tiba di kawasan itu, semua suspek meminta saya menanggalkan pakaian saya sebelum ditinggalkan dalam keadaan bogel seorang diri.
“Saya berjaya mendapatkan bantuan seorang lelaki di kawasan itu sebelum membuat laporan polis jam 10.50 malam di Balai Polis Rawang,” katanya.
Nordin berkata, dia bernasib baik apabila polis menjumpai semula teksinya berhampiran masjid di Bukit Damansara.
Menurut sumber polis, teksi yang disamun kumpulan perompak itu dilihat di kawasan tempat letak kereta di Seri Hartamas, malah kumpulan sama cuba menyamun seorang wanita berusia 30-an yang memandu Honda Civic.
“Perlakuan mencurigakan semua lima penumpang warga India dalam teksi membuatkan anggota yang sedang melakukan rondaan segera mengekori kereta suspek sebelum dihidu kumpulan penjenayah terbabit.
“Anggota bertugas cuba mengekori mangsa, namun selepas beberapa ketika kelibat teksi itu tidak lagi kelihatan,” katanya.
Usaha mengesan teksi itu diteruskan sebelum ditemui beberapa jam selepas itu di sebuah jalan mati berhampiran sebuah masjid di Bukit Damansara sebelum teksi itu dibawa ke Balai Polis Jalan Travers untuk siasatan lanjut.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment