Mufti Perlis bimbang konsep Islam Hadhari jadi retorik
Kalau sebelum ini hanya pemimpin Pakatan Rakyat yang menolak secara terang-terangan konsep Islam Hadhari, namun kini mufti juga meluahkan perkara serupa.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memilih nama yang salah apabila menggunakan perkataan Islam Hadhari.
Kata beliau memilih nama tersebut adalah sesuatu yang bermasalah kerana ramai tidak faham mengenainya.
Apabila ditanya makcik dan pakcik di kampung mereka susah hendak menjawabnya. Lainlah kalau ditanya apa itu Wawasan 2020, mereka boleh menjelaskan.
Ini sudah cukup untuk menggambarkan mereka tidak faham tentang konsep Islam Hadhari. Ia berlainan dengan Wawasan 2020 yang diperkenalkan Perdana Menteri sebelum ini,katanya pada Wacana 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat di Balai Islam, malam tadi.
Turut menjadi panel pada wacana itu, pensyarah UIA, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail. Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah bertindak sebagai pengantara.
Wacana itu dianjur Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Perbadanan Kota Bharu Bandar Raya Islam, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.
Selain itu, akhbar Harakah, Siasah, Sinar Harian, Media Global Channel dan KTV. Perasmiannya disempurnakan anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan.
Dr Mohd Asri juga memberi perumpamaan seperti kuih tahi itik (kuih manis) yang dijual di Kelantan sukar dipasar ke tempat lain kerana namanya tidak menarik.
Beliau turut bimbang pendekatan Islam Hadhari yang diuar-uarkan pemerintah sekarang hanya menghabiskan lebih banyak peruntukan kerajaan bagi menjelaskan konsep yang sukar difahami.
Menurutnya konsep itu hanya akan menjadi retorik kepada pemerintah sahaja, sedangkan banyak pihak tidak faham mengenainya.
Ketika ditemui pemberita selepas itu katanya cadangan kerajaan pusat untuk mewujudkan Masjid Hadhari di seluruh negara katanya tidak perlulah disebut perkataan hadhari kerana orang sudah tahu peranan masjid.
Mengenai negara Islam yang diperjuangkan PAS katanya, konsep pemerintahan dalam Islam begitu luas dan bukan semata-mata melaksanakan hukum hudud sahaja.
Negara Islam mementingkan keadilan, kerahmatan dan kebajikan kepada seluruh rakyat. Manakala hukum hudud merupakan salah satu juzuk yang terdapat dalam perundangan Islam.
Sepatutnya kita menekankan syiar Islam dengan lebih meluas lagi. Pemerintah juga hendaklah mempamerkan sikap jujur dan ikhlas. Kita kena pastikan kerajaan baru yang dibentuk lebih baik berbanding kerajaan sebelumnya, kata beliau.
Menurut beliau juga tidak mudah untuk mentadbir sesebuah negeri selepas Pakatan Rakyat menguasai lima negeri sekarang kerana rakyat mengharap sesuatu yang terbaik.
Katanya, pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat usah banyak membandingkan kepincangan yang pernah dilakukan kerajaan Barisan Nasional kerana rakyat mahu melihat apa yang mereka mampu lakukan.
Rakyat telah tumbangkan BN di lima negeri kerana mahu melihat kerajaan baru yang lebih baik. Jadi pemimpin Pakatan Rakyat perlu mengisi ruang-ruang tersebut, ujarnya.
Beliau juga menjelaskan bukan menjadi perkara ganjil baginya datang ke pentas Pakatan Rakyat bagi menyatakan pandangan dengan lebih bebas.
Menurutnya sebagai seorang mufti beliau perlu menyatakan pandangan dengan lebih bebas tanpa berpihak kepada mana-mana parti.
Ditanya khabar angin kononnya beliau berminat dengan parti politik tertentu katanya, perkara itu tidak benar sama sekali.
Dakwaan mengatakan saya akan menyertai parti tersebut tidak benar. Saya lebih suka dengan keadaan sekarang kerana dapat memberi pandangan dengan lebih bebas dan tidak terikat, katanya.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment