22 June 2008

Malaysia bebaskan BSA Tahir

Malaysia telah membebas kan ahli perniagaan Sri Lanka, Buhary Syed Abu Tahir atau BSA Tahir yang dipercayai menjadi orang tengah dalam membekalkan komponen nuklear yang dikendalikan oleh seorang saintis terkenal Pakistan, kata pegawai keselamatan dan kerajaan hari ini.

Ahli perniagaan itu dibebaskan selepas empat tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Buhary yang dituduh oleh Amerika Syarikat membantu Abdul Qadeer Khan menjual teknologi nuklear, ditahan sejak 2004 selepas satu laporan polis dibuat berhubung penglibatannya dalam skandal pasaran gelap nuklear.

“BSA Tahir telah dibebaskan dari pusat tahanan Kamunting beberapa hari lalu,” kata seorang pegawai kerajaan kepada Reuters.

Berpuluh-puluh individu dipercayai anggota militan telah ditahan di kem itu.

Seorang pegawai keselamatan daerah mengesahkan BSA Tahir telah dibebaskan awal bulan ini.

“Beliau bagaimanapun telah dikenakan tahanan di rumah dan perlu melaporkan diri ke balai polis setiap minggu,” kata pegawai itu yang enggan dikenali.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagaimanapun gagal dihubungi untuk memberikan komen.

Abdul Qadeer masih dikenakan tahanan di rumah di Islamabad sejak 2004.

Beliau yang masih dihormati oleh kebanyakan rakyat Pakistan sebagai “bapa bom atom negara”, membuat pengakuan pada awal 2004 menjual pelan untuk sebuah senjata nuklear canggih kepada Iran, Korea Utara dan Libya.

Bagaimanapun, dalam temuramah baru-baru ini, saintis itu menarik balik pengakuan itu. – Reuters

No comments:

Post a Comment