Ahli Parlimen SAPP terima padah jika teruskan rancangan
Dua Ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP) akan berhadapan dengan tindakan disiplin daripada Barisan Nasional (BN) jika mereka meneruskan rancangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apa jua tindakan kedua-dua mereka, jika ia melanggar kod etika disiplin BN, ini akan menyebabkan mereka dihukum kerana melanggar disiplin parti.
“Secara teknikal mereka tidak boleh (mengemukakan usul) kerana kuasa itu terletak pada Speaker. Ia mungkin tidak berlaku.
“Tetapi apa pun, sebarang cubaan di Parlimen boleh dianggap sebagai melanggar disiplin BN, oleh itu tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mereka... ini semua bergantung kepada tindakan mereka,” kata Najib, yang juga Ketua Whip BN.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Infrastruktur, beliau berkata penyerahan kuasa oleh Abdullah kepada beliau dan keputusan SAPP untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri adalah dua isu berlainan.
Pada Rabu, SAPP yang berpusat di Sabah mengisytiharkan bahawa parti itu hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan dua anggota Parlimen parti itu Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah pada sidang Dewan Rakyat, yang bermula Isnin ini. – BERNAMA.
No comments:
Post a Comment